Puding Roti Jagung

Che Nom nak kongsikan satu dessert yang mudah tapi sedap sangat, peminat-peminat puding kena cuba iaitu Puding Roti Jagung. Resepi ni Che Nom dapat dari sahabat baik dari Instagram Che Nom yang dah lama dari dulu, sebelum Che Nom buat Youtube lagi iaitu kak Ani dari Pontian, Johor. Kak Ani ni tauke ladang nenas dan memang pandai sangat buat pudding, jadi resepi Kak Ani mestilah confirm menjadi dan sedap. Terima Kasih Kak Ani untuk resepi puding yang sedap ni.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk pudding roti jagung:
    • 3 keping roti putih
    • ½ tin /195ml susu cair
    • 1 biji telur
    • 1 ½ sudu besar tepung kastard
    • 1 sudu kecil esen vanila
    • ½ tin jagung manis
    • ¾ cawan /150g gula
    • 700ml air
    • 1 pek / 10g serbuk agar-agar
    • pewarna kuning
    • pewarna hijau
    • majerin untuk gris acuan

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk puding roti jagung:
    1. Gris atau sapu nipis marjerin didalam bekas acuan pudding.
    2. Buang kerak tepi roti. Kemudian, potongkan roti kepada kiub kecil.
    3. Kisar halus potongan roti, susu cair, sebiji telur, tepung kastard, esen vanilla, jagung manis dan gula. Kisar bahan sehingga betul-betul halus.
    4. Masakkan air dan serbuk agar-agar. Kerapkan menggacau supaya adunan tidak berketul.
    5. Bila agar-agar sudah larut, masukkan bahan kisar dan masakkan dengan api yang perlahan. Gaul sehingga adunan menjadi pekat dan mendidih.
    6. Bahagikan kepada tiga adunan untuk diletakkan pewarna. Adunan dijadikan warna oren, kuning dan hijau.
    7. Masukkan adunan yang pertama iaitu yang berwarna oren sebagai lapisan bawah lalu ratakan adunan tersebut didalam bekas pudding.
    8. Kemudian, masukkan kedalam peti sejuk sehingga agar-agar oren sejuk dan keras.
    9. Masukkan pula lapisan kedua yang berwarna kuning dan ulang, sejukkan kedalam peti sejuk.
    10. Selepas sejuk dan keras lapisan yang kedua, masukkan pula lapisan yang terakhir dan ratakan adunan.
    11. Masukkan pudding kedalam peti sejuk dan sejukkan dalam masa anggaran 3 jam.
    12. Selepas sudah keras, pudding roti jagung sudah siap untuk dihidang dan dijamu selera,

Tip:

  • Selepas adunan kelihatan sudah mendidih, segerakan tutup api bagi mengelakkan ia hangit.
  • Pudding boleh ditambah pewarna selain pewarna kuning dan hijau mengikut kesukaan agar ia kelihatan lebih menarik lagi.
  • Jika adunan sedikit keras, boleh dipanaskan semula supaya cair sebelum diletakkan didalam bekas pudding. Boleh tambah sedikit air jika adunan menjadi terlalu pekat semasa dipanaskan.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.