Nasi Hujan Panas

Jom kita masak menu special kali ni, iaitu nasi hujan panas dan juga acar timun. Che Nom padankan juga dengan ayam masak merah style kenduri, sesuai lah nak masak untuk tetamu di rumah terbuka.

Nasi hujan panas ni memang lembut kejadiannya, fluffy atau ringan berderai, dan cukuplah semua rasa, cara masak beras tu yang penting, boleh tengok sampai habis ok. Ada juga tips sukatan air, dan juga cara penyediaan nasi menggunakan pressure cooker dan periuk nasi.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk nasi:
    • 3 cwn beras basmathi
    • 1-2 sb minyak masak
    • 1-2 sb mentega
    • 1-2 sb minyak sapi
    • Rempah 4 sekawan (1 batang kayu manis, 1 bunga lawang, 3 cengkih, 4 buah pelaga)
    • 3 biji bawang merah kecil
    • 3 ulas bawang putih
    • 1 inci halia
    • 2 helai daun pandan
    • 2 cwn susu cair
    • 2 1/2 cwn air
    • 1 kiub pati ayam
    • Sedikit garam
    • 1-2 sk gula
    • Sedikit pewarna kuning
    • Pewarna merah
    • Pewarna hijau
  • Bahan-bahan untuk acar:
    • 1 batang timun
    • Sepotong nenas
    • 1 biji bawang merah besar
    • 4-6 tangkai cili padi
    • 2 sb gula
    • 1-2 sk garam
    • Jus lemon atau cuka makan

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk nasi hujan panas:
    1. Hiris nipis bawang merah kecil dan bawang putih.
    2. Halia hiris tebal, senang nanti lepas masak boleh tarik keluar.
    3. Basuh beras sampai jernih dan hilang keruh, anggaran 3 kali. Lepas basuh, boleh tapis dan tos kering.
    4. Panaskan minyak masak, mentega dan minyak sapi.
    5. Tak perlu cairkan sepenuhnya, terus masuk rempah 4 sekawan.
    6. Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis sampai keperangan dan naik bau tumisan.
    7. Masukkan daun pandan untuk aroma, lebih wangi dan berselera nasi nanti.
    8. Masuk beras dan goreng selama 3-4 minit, sampai dengar bunyi berdesir.
    9. Masukkan susu cair, air, kiub pati ayam dan sedikit pewarna kuning.
    10. Masukkan garam dan gula. Kacau sebati.
    11. Pindah masuk dalam periuk nasi atau pressure cooker. Kemudian tunggu sampai nasi masak.
    12. Selepas nasi dah masak, biar nasi kering dan suam-suam sebelum gembur, kalau gembur awal-awal takut patah dan hancur nasi nanti.
    13. Untuk warnakan nasi, boleh celup chopstick atau lidi dalam pewarna dan titis pewarna atas nasi. Seeloknya buat lubang dan lorek-lorek pewarna dalam tu.
    14. Che Nom guna warna merah, hijau dan oren. Kalau pewarna terlalu pekat, boleh campur sikit dengan air sebelum titis atas nasi.
    15. Dah siap letak warna boleh nasi gembur biar bercampur.
  2. Cara-cara untuk acar:
    1. Timun kupas kulit jarak-jarak kemudian cakar dengan garfu.
    2. Belah 2 timun dan hiris nipis. Biji tak perlu buang.
    3. Nenas kupas kulit dan hiris halus.
    4. Bawang besar dan cili padi (kalau nak kurang pedas boleh ganti dengan cili besar) hiris nipis.
    5. Untuk rasa masam kita boleh guna cuka makan, limau nipis dan lemon. Che Nom guna lemon
    6. Masuk semua bahan potong, gula, garam dan jus lemon dalam mangkuk.
    7. Gaul sebati kemudian simpan dalam peti sejuk sebelum hidang.

Tip:

  • Cawan untuk sukat tak kisah besar mana, janji cawan yang kita sukat beras tu kita guna cawan yang sama untuk sukat air.
  • Untuk tumisan, kalau nak guna mentega semuanya atau minyak sapi semuanya tak nak campur pon boleh. Minyak sapi ni lebih aromatic dan wangi cuma mahal sikit.
  • Untuk sukatan cecair 1 cawan beras bersamaan 1 setengah cawan cecair (susu cair dan air). Kalau 3 cawan beras maknanya 4 setengah cawan cecair (susu cair dan air).
  • Kalau guna periuk nasi eletrik biasa, rendam beras anggaran 15 minit, jangan lama. Kalau guna pressure cooker tak perlu langsung rendam beras.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.