Nasi Dagang Dan Acar Timun

Kali ini Che Nom kongsi cara masak nasi dagang dan resepi ni adalah sambungan daripada Gulai Ikan Tongkol yang lepas.

Che Nom akan bercerita mengenai jenis-jenis beras yang boleh kita guna untuk masak nasi dagang serta cara untuk sediakan beras bermula dari proses mengukus, sampai lah kepada proses meng’arung’ beras untuk dapatkan texture nasi dagang yang lembut, berderai, tidak patah dan berkilat. Rasa pon pasti sedap.

Cara sediakan hidangan sampingan wajib iaitu acar timun yang ringkas pun ada, mudah sangat kerana tak perlu masak pun. Makan dengan gulai ikan tongkol memang terbaik set nasi dangan ni. Nasi dagang ni sangat sesuai dihidangkan diwaktu sarapan dan lauk yang paling sesuai adalah Gulai Ikan Tongkol .

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk nasi dagang
    • 4 cwn /800g beras wangi
    • 1 cwn /200g beras pulut
    • 2 cwn santan pekat
    • 2 cwn santan cair
    • 1 1/2 sb halba
    • 2 inci halia
    • 3 biji bawang merah kecil
    • 3-4 sk garam
    • 2 sb gula
  • Bahan-bahan untuk acar timun:
    • 1 batang timun
    • 1/2 batang lobak merah
    • 1/2 bawang besar
    • 1 tangkai cili besar
    • 1 tangkai cili padi
    • Sedikit garam
    • 1-2 sb gula
    • Cuka makan

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk acar timun:
    1. Timun potong memanjang (macam mancis) dan buang bahagian tengah / biji.
    2. Lobak merah, buang kulit dan potong mancis (boleh parut kalau suka).
    3. Hiris nipis bawang besar, cili merah dan cili hijau.
    4. Masukkan kesemua bahan potong dalam mangkuk.
    5. Perasakan dengan gula, garam dan cuka makan.
    6. Kacau sebati dan simpan dalam peti sejuk.
  2. Cara-cara untuk nasi:
    1. Halia potong halus macam mancis, Che Nom guna halia muda sebab lebih sedap tapi tak wajib, nak guna yang tua pon boleh.
    2. Hiris nipis bawang merah kecil.
    3. Campur beras wangi thai dan beras pulut (pilihan). Kalau dah guna beras wangi tak perlu tambah beras pulut tapi kalau guna beras biasa wajib tambah beras pulut.
    4. Basuh dan rendam beras anggaran 8-9 jam.
    5. Toskan air dan masuk beras dalam loyang pengukus. Boleh kalau nak alas beras dengan daun pisang.
    6. Buat lubang antara beras. Boleh buat satu lubang besar di tengah atau banyak-banyak lubang sekaligus.
    7. Bila air dalam periuk kukus dah panas, boleh masukkan loyang berisi beras tadi.
    8. Kukus anggaran 10 minit.
    9. Untuk santan pekat, perahan kelapa parut dengan 2 cawan air. Perah ambil santan dan bancuh dengan garam dan gula.
    10. Untuk santan cair, perah (perahan kedua dari kelapa parut yang sama) kelapa parut dengan 1 cawan air. Kalau takda santan cair boleh kukus nasi dengan air macam biasa dan tambah santan pekat atau santan kotak last sekali.
    11. Pindah nasi dalam bekas / mangkuk besar.
    12. Tuang masuk santan cair dan arungkan (kacau) sebati nasi.
    13. Tambah halba dan sambung arung.
    14. Bila nasi dah kering, masukkan balik nasi dalam loyang pengukus dan sambung kukus anggaran 20 minit.
    15. Selepas 20 minit, pindah semula nasi dalam mangkuk besar tadi
    16. Masukkan hirisan bawang, halia dan santan pekat. Arung sampai nasi kering dan serap semua lembapan dari santan.
    17. Pindah masuk nasi dalam bekas aluminium (untuk lambatkan nasi basi).
    18. Tekan dan ratakan permukaan nasi. Tutup dan biarkan nasi rehat anggaran 15-20 minit.
    19. Hidang bersama acar dan gulai ikan tongkol.

Tip:

  • Ada beras khas untuk nasi dagang tapi Che Nom guna beras wangi thai. Beras ni agak kenyal dan lembut, beras yang sama untuk masak nasi ayam Hainan.
  • Che Nom tambah beras pulut untuk lebih texture kenyal dan melekat-lekat. Sebenarnya kalau dah guna beras wangi tak perlu tambah beras pulut tapi kalau guna beras biasa wajib tambah beras pulut.
  • Kalau takda santan cair boleh kukus nasi dengan air macam biasa dan tambah santan pekat atau santan kotak last sekali.
  • Masa kukus buat lubang antara beras supaya wap air boleh naik ke atas. Boleh buat satu lubang besar di tengah atau banyak-banyak lubang sekaligus.
  • Selepas siap kukus nasi, simpan nasi dalam bekas aluminium petua untuk lambatkan nasi basi.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.