Siakap Bakar Bersambal

Kali ni Che Nom nak tunjuk cara untuk masak ikan bakar bersambal, menggunakan pes sambal yang mantap rasanya. Dalam video ni Che Nom guna ikan siakap yang dibelah belakang, disapu dengan pes sambal secukupnya dan kemudian kita bakar guna kuali. Cara yang mudah dan praktikal untuk masak di rumah.

Hasil masakan ikan ni memang sangat moist, cukup semua rasa dengan gabungan lapisan pes sambal tu. Kalau masak guna daun pisang pun boleh tambah wangi. Makan dengan nasi panas, dengan ulam ke dah cukup dah ni. Tak perlu lauk lain lagi.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk ikan bakar:
    • 1 biji bawang besar
    • 4 biji bawang merah kecil
    • 5 ulas bawang putih
    • 2 inci halia
    • 1 inci lengkuas
    • 2 batang serai
    • 2 ketul kunyit hidup
    • 1/2 inci belacan bakar
    • 8 sb cili kisar
    • 1 inci gula melaka
    • 2-3 sb air asam jawa
    • Garam secukup rasa
    • 1 ekor ikan siakap
    • Sedikit garam
    • Serbuk kunyit
  • Bahan-bahan untuk air asam:
    • 1 biji bawang besar
    • 1 biji tomato
    • 4 tangkai cili padi
    • 1 inci belacan bakar
    • 5 sb air asam jawa
    • Gula secukup rasa
    • Garam secukup rasa
    • 1 sk sebuk perasa
    • Jus limau kasturi
    • Sedikit air
    • Sedikit kicap

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk penyediaan bahan:
    1. Hiris nipis halia, lengkuas, serai, bawang merah kecil, bawang putih, bawang besar dan kunyit hidup.
    2. Masukkan dalam blender bahan hiris nipis, belacan bakar dan air separuh tenggelam. Kisar halus kesemua bahan.
    3. Bancuh asam jawa dengan air kemudian ketepikan.
    4. Bersihkan ikan dan belah dua, caranya belah ikan dari belakang atau bahagian atas (butterfly cut)
    5. Potong tulang rusuk ikan.
    6. Bahagian perut jangan belah, buang isi perut selepas belah dua.
    7. Bahagian kepala pon sama, potong 2 dari belakang. Insang jangan lupa buang.
    8. Kikis ketulan darah dan basuh ikan
    9. Sisik memang Che Nom tak buang.
    10. Potong sirip dan ekor.
    11. Lumur sebati ikan dengan garam dan serbuk kunyit. Ketepikan dulu.
  2. Cara-cara untuk pes sambal:
    1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar halus. Tambah sedikit air.
    2. Masak sampai pecah minyak dan garing sikit.
    3. Masukkan cili kisar dan kacau sebati.
    4. Masukkan gula melaka (gula perang pon boleh).
    5. Selepas 10-15 minit masukkan air asam jawa, garam dan serbuk perasa kalau suka.
    6. Bila tumisan dah pecah minyak dan pekat berkilat, boleh tutup api dan pindah masuk bekas.
    7. Sejukkan sebelum lumur atas ikan.
  3. Cara-cara untuk ikan:
    1. Lapik kuali dengan 2-3 lapis daun pisang. Masukkan ikan bahagian sisik sebelah bawah.
    2. Tutup tudung kuali dan masak sampai ikan separuh masak anggaran 10 minit.
    3. Sapukan pes atas ikan.
    4. Bila dah siap ratakan, tutup tudung kuali dan masak atas api perlahan sampai ikan masak.
    5. Selepas jus ikan dah keluar dan isi ikan dah masak, kuatkan api dan teruskan masak anggaran 5 minit supaya bahagian bawah ikan burn sikit baru sedap makan.
  4. Cara-cara untuk air asam:
    1. Hiris kasar bawang besar, tomato, cili padi (kalau nak kurang pedas boleh campur cili besar).
    2. Masuk semua bahan potong tadi dalam mangkuk.
    3. Masukkan sekali belacan bakar, air asam jawa, gula, garam, serbuk perasa kalau suka dan jus limau kasturi (limau nipis pon boleh).
    4. Gaul dah ramas sebati kesemua bahan.
    5. Masukkan sedikit air dan sedikit kicap.
    6. Gaul sebati dan siap untuk dihidang.

Tip:

  • Resepi untuk pes sambal cukup untuk masak 2 esok ikan siakap.
  • Che Nom tak letak pes bahagian bawah / sisik ikan siakap. Bahagian sisik akan jadi lapisan tebal yang jaga ikan tu untuk jadi lebih moist.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.