Resepi Apam Nasi Che Nom

Kali ini Che Nom nak berkongsi resepi kuih tradisional atau kuih muih Melayu lah orang kata, iaitu apam nasi yang sangat lembut, gebu. dan sedap pulak tu. Lebihan nasi sejuk kalau dah boring asyik buat nasi goreng aja boleh lah cuba buat apam nasi pulak.

Resepi asal dari sahabat Che Nom iaitu kak Roha Hassan, dan hasil dari resepi ni memang seakan-akan sama macam apam yang Che Nom selalu makan di kampung dulu..dengan tekstur lembut nya, dengan cukup manis dan hasil perapan dari yis tu memang cukup sedap baunya. Makan pula dengan kelapa parut aduhai terasa macam berasa di kampung.

Sukatan semuanya dalam sudu dan cawan dan nak bancuh pun guna blender aja.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk apam nasi:
    • 1 cawan /160g nasi
    • 1 ½ cawan /275ml air
    • 1 cawan /200g gula
    • 2 cawan /270g tepung beras
    • 2 sudu besar /16g tepung gandum
    • 1 sudu kecil /3g yis kering
    • 1 paket ENO asli (pilihan)
    • Pewarna
    • ½-1 biji kelapa parut
    • 1 helai daun pandan

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk apam nasi:
    1. Masukkan nasi, air dan gula ke dalam blender dan kisar halus.
    2. Masukkan tepung beras, tepung gandum dan yis kering kemudian kisar lagi sehingga sebati.
    3. Perap adunan 3-5 jam atau semalaman.
    4. Sapu acuan dengan minyak masak.
    5. Masukkan ENO (pilihan) ke dalam adunan apam yang telah diperap dan kacau sebati.
    6. Bahagikan adunan kepada beberapa bekas (bilangan bekas bergantung kepada berapa warna yang anda nak letak).
    7. Masukkan pewarna makanan dan kacau sekata. Che Nom letak warna merah, hijau, biru dan putih (tidak dimasukkan pewarna).
    8. Balut penutup pengukus dengan kain (tidak perlu balut bagi yang menggunakan pengukus elektrik, bagi yang menggunakan pengukus klasik diwajibkan balut).
    9. Tuang air dan panaskan kukusan anggaran 5 minit.
    10. Masukkan adunan dalam acuan.
    11. Kukus apam selama 20-25 minit.
    12. Gaul hirisan daun pandan dan garam bersama kelapa parut, kemudian kukus selama 5-10 minit atau sehingga naik bau daun pandan.
    13. Hidang apam dengan kelapa parut.

Tip:

  • Untuk hilangkan pedas dalam blender, kisar 1 cawan air dan 1 sudu besar garam.
  • Tapis adunan apam dengan penapis jarang untuk tapis ketulan tepung.
  • Letak 1-2 titik sahaja pewarna kalau nak warna adunan pastel.
  • Jangan buka penutup semasa mengukus, ia akan menggangu proses dan hasil apam nanti.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.