Mee Goreng Daging Basah

Menu daging kali ini iaitu mee goreng daging versi basah. Cara dalam resepi ini, Che Nom rebus dulu daging sampai lembut sebab guna bahagian keting yang banyak urat tapi sedap sangat dimakan kalau kita masak sampai lembut. Sedap tu boleh mengalahkan daging potongan mahal kalau kena cara masaknya.

Air rebusan daging pula, kita guna untuk buatkan mee sedikit berkuah nak jadikan mee goreng basah. Kalau guna daging bahagian batang pinang atau bahagian lain yang lembut, nak masak terus tanpa rebus pun boleh sebab poton tersebut mudah lembut bila dimasak.

Memang menarik dan sedap dimakan dengan tambahan telur, tomato, sayur sawi dan taugeh untuk texture krup krap bila dimakan. Bahan-bahan simple saja, gerenti mudah nak buat. Makan panas-panas mee goreng daging basah ni owhh memang serius terbaik.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan:
    • 300g daging
    • 2 cawan air (untuk rebus daging)
    • Minyak masak
    • 3 ulas bawang putih
    • 2 biji bawang merah
    • 3 sudu besar cili kisar
    • Kicap manis
    • 2 sudu besar sos tiram
    • 3 sudu besar sos cili
    • 2 sudu besar sos tomato
    • 2 telur
    • 1-2 sudu kecil lada sulah
    • 1 ikat sayur sawi
    • 1 pek mi kuning
    • 1 biji tomato
    • Taugeh
    • Daun bawang
    • 2 tangkai cili merah

Cara Penyediaan:

  1. Penyediaan bahan:
  2. Cincang halus bawang putih dan bawang merah.
  3. Potong sawi, tomato, cili merah dan daun bawang.
  4. Rebus daging selama 40 minit dengan 2 cawan air. Lepas dah masak lembut, angkat daging dan hiris nipis. Air rebusan daging simpan untuk kuah mee goreng nanti.
  5. Cara-cara untuk masak mee goreng basah:
    1. Panaskan minyak dan tumis bawang.
    2. Bila bawang dah naik bau, masukkan cili kisar, kicap manis, sos tiram, sos cili, sos tomato dan air rebusan daging.
    3. Bila dah mendidih, boleh masukkan telur dan serbuk lada sulah. Jangan kacau telur, biarkan sampai telur separuh masak.
    4. Kemudian masukkan batang sawi dan potongan daging. Kacau sebati.
    5. Masukkan mee kuning (rendam dan basuh dulu), tomato, daun sawi dan taugeh.
    6. Tambah air rebusan untuk lebih berkuah dan adjust kicap dan lada sulah jika perlu.
    7. Hias dengan taburan daun bawang, hirisan cili merah dan bawang goreng.

Tip:

  • Che Nom selalunya tekan hancur batang sawi, supaya batang mudah lembut dan rencah tumisan meresap kedalam batang sawi.
  • Che Nom tambah lada sulah untuk hilangkan bau hanyir telur.
  • Kalau nak masak daging tapi tak nak rebus, boleh ganti dengan daging bahagian potongan yang mahal (batang pinang atau sirloin).
  • Jangan goreng mee terlalu lama takut terlebih kembang atau kering nanti.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.