Kek Gula Hangus Kukus

Kali ni jom kita tengok cara buat kek gula hangus atau nama lain yang selalu orang panggil, kek sarang semut sebabnya tekstur kek ni memang berongga macam dalam sarang semut. Sebelum ni Che Nom dah pernah kongsi resepi, tapi resepi yang baru ni hasil keknya lebih besar. Jumlah sukatan bahan pun lebih ekonomi terutama pada sesiapa yang nak buat berniaga atau buat makan ramai-ramai.

Kita mula dengan cara karamelkan gula, gula caramel tu yang sedap. Dan kemudian bancuh gula dengan bahan-bahan kering. Che Nom kukus ye kek kali ni, bukan bakar. Jadi siapa yang tak ada oven boleh cuba buat, dan walau tak perap pun tetap jadi sarangnya.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk kek gula hangus:
    • 2 cwn /400g gula
    • 2 cwn /475ml air
    • 1/2 cwn /113g mentega
    • 6 biji telur saiz A (kalau saiz B 7 biji)
    • 2 sk esen vanila
    • 3/4 cwn /230g susu pekat
    • 2 cwn /250g tepung gandum
    • 2 sk soda bikarbonat
    • 1 sk serbuk penaik

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk air gula hangus:
    1. Sukat masuk gula dalam kuali dan masak dengan api sederhana sampai gula cair. Tak perlu kacau, biarkan gula cair sendiri atau boleh goyang-goyang kuali sikit (kalau takut gula hangit).
    2. Bila gula hampir cair kesemuanya, boleh kacau sampai gula larut dan bertukar warna gelap.
    3. Bila gula dah cair sepenuhnya dan mula berbuih boleh masukkan air panas dan kacau sebati (hati-hati waktu tuang air panas, boleh pakai sarung tangan untuk elak air yang merecik)
    4. Masukkan mentega dan masak sampai cair.
    5. Bila adunan dah mendidih boleh tutup api dan ketepikan.
  2. Cara-cara untuk adunan kek:
    1. Sapu loyang dengan majerin.
    2. Ayak tepung gandum, baking soda dan baking powder. Ketepikan dahulu.
    3. Pecahkan telur dan masukkan telur dalam mangkuk adunan. Pukul telur sampai hancur.
    4. Masukkan esen vanilla (untuk wangikan kek dan hilangkan hanyir). Sambung pukul sampai adunan berbuih sikit.
    5. Masukkan susu pekat dan sambung kacau.
    6. Masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit sampai habis. Kacau sebati.
    7. Bila adunan dah sebati boleh masukkan air gula hangus tadi dan kacau sampai hilang ketul-ketul tepung.
    8. Tapis masuk adunan dalam loyang dan perap anggaran 1 jam.
    9. Panaskan pengukus (kalau guna pengukus klasik buka api paling besar) dan kukus kek anggaran 50-60 minit.
    10. Tutup loyang dengan aluminium foil atau dulang untuk halang air masuk.
    11. Bila dah masak, boleh buang aluminium foil atau dulang tadi dan sambung kukus anggaran 5-10 minit untuk bagi permukaan atas kek masak elok, kering dan tak melekit.
    12. Keluarkan dari pengukus dan sejukkan kek sebelum keluarkan dari loyang.
    13. Bila kek dah suam-suam boleh potong dan hidang.

Tip:

  • untuk masak gula karamel, pastikan guna kuali atau periuk yang tebal untuk kawal tahap hangus gula. Takut nanti gula terlebih hangus sampai pahit.
  • Untuk air gula seeloknya guna air panas, sebab kalau guna air sejuk takut air gula akan berketul-ketul.
  • Boleh perap adunan minimum 1 jam tapi Che Nom kukus terus. Kalau perap lebih elok, bukan sekadar sarang lebih cantik malahan kek lebih sedap.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.