Telur Bistik Sedap

Resepi Telur Bistik, sangat mudah dan sedap serta menjadi kegemaran anak sulung Che Nom. Cukup berselera walau jika dimakan bersama nasi panas sahaja dan telur bistik ni sudah seimbang dengan sumber protein dari telur dan sayur-sayuran campur yang dimasukkan ke dalam bahan kuahnya.

Untuk sediakan resepi ni kita masak dahulu bahan kuahnya bersama sayur sayuran dan ayam, boleh juga kalau nak gantikan dengan daging cincang. Selepas itu kita goreng telur dadar dan tuang bahan-bahan kuah tadi ke atas telur dadar. Chen Nom masukkan mayonis dalam telur kerana rasanya akan jadi lebih sedap.

Bahan-bahan:

  • 1/2 biji bawang besar, potong dadu kecil
  • 2 ulas bawang putih, cincang halus
  • 1 biji cili merah, potong dadu kecil
  • 1 mangkuk kecil isi ayam
  • 1 mangkuk kecil sayur campur
  • 3 sudu besar sos cili
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu kecil garam
  • sedikit air
  • daun bawang, hiris nipis
  • Bahan-bahan untuk telur goreng:
    • 3 biji telur
    • 2 sudu besar mayonis
    • 1/2 sudu kecil lada hitam
    • 1/2 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan kuali bersama sedikit minyak.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan kacau sehingga kekuningan.
  3. Masukkan cili merah kemudian diikuti sayur campur, sos cili, sos tomato, sos tiram dan garam. Kacau seketika.
  4. Masukkan sedikit air supaya menjadi berkuah. Masak sehingga kuah mendidih.
  5. Tuang ke dalam mangkuk dan ketepikan.
  6. Cara-cara untuk telur goreng:
    1. Panaskan minyak di dalam kuali dalam anggaran 1 mangkuk.
    2. Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Masukkan mayonis, serbuk lada hitam dan garam.
    3. Kacau adunan telur dengan garfu sehingga sebati dan berbuih.
    4. Tuang ke dalam kuali dan goreng kedua-dua belah bahagian sehingga garing..
    5. Angkat telur ke dalam pinggan dan tuang kuah tadi ke atas telur. Tabur dengan hirisan daun bawang.

Tip:

  • Kalau tak ada sayur campur atau mixed vege frozen boleh juga digantikan dengan sayur lain. Kalau boleh masukkan sayur yang berlainan warna supaya nampak menarik dan berkhasiat.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.