Sambal Tumis Ikan Kembung

Sambal Tumis Ikan Kembung, menu ala-ala kampung yang tak jemu dimakan. Paling sedap jika dimakan bersama sayur tumis air atau sayur masak lemak putih dan sambal belacan. Kalau ada ikan kembung segar dari pasar, memang sedap kalau terus digoreng dan gaul bersama sambal tumis.

Bagi Che Nom, lagi sedap jika kita gunakan asam jawa berbanding asam keping. Tapi boleh aja gunakan mana-mana bahan yang ada di dapur. Rasa sambalnya harus sedikit manis, bergabung dengan rasa masin dari ikan goreng memang terus membuka selera. 

Bahan-bahan:

  • 6 ekor ikan kembung
  • 1 senduk cili kisar
  • 3-4 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar sos tiram (optional)
  • 1/2 mangkuk kecil air asam jawa
  • 1 biji bawang besar, potong membulat
  • gula secukup rasa
  • minyak untuk menumis, anggaran 1 mangkuk kecil
  • Bahan tumbuk/kisar halus:
  • 4 ulas bawang putih
  • 4-5 biji bawang merah
  • 1/2 inci halia

Cara Penyediaan:

  1. Bersihkan ikan dan gaulkan bersama garam dan serbuk kunyit. Goreng sehingga masak, angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga naik bau dan kemudian masukkan cili kisar. Kacau di atas api perlahan sehingga cili kisar pecah minyak.
  3. Masukkan sos cili, sos ikan, sos tiram dan air asam jawa. Kacau sehingga sambal masak sebati. Boleh ditambah sedikit air jika sambal terlalu kering.
  4. Masukkan bawang besar dan gula secukup rasa.
  5. Tuangkan kuah sambal di atas ikan goreng tadi. Siap untuk dihidangkan.

Tip:

  • Dalam resepi ni Che Nom tidak masukkan garam kerana sos tiram, dan sos ikan sudah masin. Ikan goreng juga sudah diletakkan garam semasa menggoreng.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.