Rendang Ayam Tumis Istimewa Hari Raya

Kali ni Che Nom nak share cara untuk masak rendang ayam yang cukup pekat, sedap, wangi dan sangat sesuai sangat untuk kita hidang bersama dengan ketupat ataupun lemang di hari raya. Rendang ni Che Nom masak dengan cara menumis dan reneh dengan api yang perlahan sampai masak pecah minyak.

Bahan special untuk sedapkan lagi rasa tu ialah rempah kering yang disangai. Kenapa kita sangai, sebab nak naikan aroma rempah, jadi lebih aromatik lah bau rendang. Boleh bau sampai ke 2-3 buah rumah jiran sebelah.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan kisar halus:
    • 4 inci halia
    • 4 ketul kunyit hidup
    • 4 inci lengkuas
    • 12-15 biji bawang merah kecil
    • 10 ulas bawang putih
    • 2 biji bawang merah besar
    • 5 batang serai
    • 8-10 tangkai cili padi
    • 30-35 biji cili kering
    • 7 biji buah keras
  • Bahan-bahan rempah sangai:
    • 2 sudu besar biji ketumbar
    • 1½ sudu besar jintan putih
    • 1½ sudu besar jintan manis
  • Bahan-bahan lain:
    • 2 cawan minyak masak
    • Rempah 4 sekawan (1 batang kayu manis, 2 bunga lawang, 4 pelaga, 3 cengkih)
    • 2 ekor ayam
    • 2 asam keping
    • 3-4 cawan santan cair
    • 2-3 cawan santan pekat
    • 4-6 sudu besar kerisik
    • 5-6 helai daun limau purut
    • garam secukup rasa
    • 1-2 sudu kecil gula melaka
    • 2 helai daun kunyit

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk Rendang Ayam Raya:
    1. Sediakan bahan-bahan kisar halus. Kisar halus kesemua bahan dengan air secukupnya.
    2. Sangai bahan-bahan rempah sehingga naik bau.
    3. Kisar halus kesemua bahan sangai.
    4. Panaskan minyak, lalu tumis bahan empat sekawan dan masukkan bahan kisar halus. Tumis sehingga warna bertukar sedikit gelap dan pecah minyak.
    5. Masukkan ayam, rempah kisar, asam keping dan santan cair. Masak sehingga ayam kecut dan menjadi kering air.
    6. Masukkan santan pekat, kerisik, daun limau purut, garam secukup rasa, gula melaka atau gula nisan. Masak sehingga kuah menjadi agak kering.
    7. Taburkan dengan hirisan nipis daun kunyit.
    8. Kemudian, Ayam Rendang Ayam siap untuk dihidang bersama lemang atau ketupat.

Tip:

  • Pilih kerisik yang masih elok dan tidak berbau hapak kerana kerisik adalah antara bahan yang penting untuk rasa rendang ayam yang sedap.
  • Santan cair adalah santan perahan yang kedua manakala santan pekat adalah perahan yang pertama. Jika menggunakan santan kotak, tambah air supaya menjadi santan cair.
  • Elakkan mengacau rendang ayam terlalu kerap bagi menggelakkan ayam hancur ketika dimasak.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.