Kuih Tiram Tak Cukup Sebalang

Kali ni Che Nom nak buat kuih yang boleh dikatakan kategori kudap kudapan, kuih tiram atau kuih kapal terbang, kuih lidah buaya, kuih bujang lapok pun ada yang panggil, dan satu lagi namanya ialah kuih lidah jin. Macam mana boleh dapat nama itu pun tak pasti.

Bahan-bahan nak buatnya mudah saja. Kita adun doh dari tepung gandum, kemudian sapu rata dengan gris yang dibuat sendiri. Seterusnya kita gulung dan leperkan. Bila goreng nanti hasilnya akan jadi lapis-lapis yang berongga dan rangup. Kuih ni wajib disalut dengan gula, dan kalau buat kudap kudapan, sebalang boleh habis makan sorang. Sedap dan bahaya. Kena sembunyi tau.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan:
    • 500g tepung gandum
    • 2 sb majerin
    • 1 sk garam
    • 3/4 cwn /187ml air (untuk bancuhan air garam)
    • 1 cwn / 250ml air (tambahan)
    • Gula pasir
  • Bahan-bahan gris:
    • 1/2 cawan tepung jagung
    • Minyak masak secukupnya

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk kuih tiram:
    1. Bancuh tepung jagung dengan minyak masak sampai jadi pes yang lembut (macam pes ubat gigi) kemudian ketepikan.
    2. Bancuh dan larutkan garam dengan air.
    3. Cairkan majerin.
    4. Masukkan tepung gandum dan majerin cair dalam mangkuk kemudian kacau sampai jadi serbuk kasar (macam serbuk roti).
    5. Masukkan air garam dan kacau sebati. Tambah air sedikit demi sedikit dan uli sampai menjadi doh yang lembut. Bentukkan doh menjadi bulat yang besar
    6. Gris mangkuk dengan minyak. Letak doh dalam mangkuk tadi dan rehatkan anggaran ½ jam
    7. Keluarkan doh dan uli sikit.
    8. Bahagikan kepada 8 bahagian.
    9. Leperkan doh sampai nipis dan sapu dengan adunan gris sampai rata.
    10. Gulung doh sampai hujung, lembabkan hujung doh dengan air supaya lapisan doh melekat.
    11. Potong doh anggaran ½ inci dan leperkan nipis doh.
    12. Panaskan minyak dan goreng sampai keperangan.
    13. Kisar gula pasir sampai halus.
    14. Salut kuih dengan gula sehingga gula bersalut sebati.

Tip:

  • Tambah air sikit demi sedikit masa uli doh, kalau lembik susah nak adjust tambah tepung. Kalau melekit terus uli dan tambah tepung.
  • Sementara mencanai dan mengulung kuih tiram, doh yang belum diproses perlu ditutup dan jangan bagi terdedah takut nanti doh akan kering.
  • Api sederhana saja untuk menggoreng takut kalau terlalu panas dalam tak masak dan jadi liat.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.

Youtube Video