Gulai Ikan Kembung

Jom tengok Che Nom nak masak gulai atau kari ikan kembung kali ni. Bahan-bahan cukup ringkas, tapi untuk masak kari yang sedap kita perlu bagi perhatian kepada cara memasak nya. Baru lah dapat sediakan kari yang sedap.

Kalau di sebelah utara, gulai sama je dengan kari. Sesetengah tempat pulak gulai tu yang kuah kuning kan? Cara masak ni sama mcm cara mak Che Nom. Kuah gulai kena pecah minyak dan warna pun sedikit kemerahan. Rasa pula mesti ada elemen pedas, rasa lemak berempah dan sedikit masam. Kalau makan dengan nasi dan ulam sambal belacan atau cicah dengan lempeng fuh cukup terangkat.

Bahan-bahan:

  • 1/2 cwn minyak masak
  • 1/2 sb halba campur
  • 2 tangkai daun kari
  • 3-4 biji bawang merah kecil
  • 4 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 3 sb serbuk kari ikan
  • 1 sb serbuk cili
  • Sedikit air
  • Air asam jawa
  • Garam secukup rasa
  • 1kg ikan kembung
  • 2-3 cwn santan cair
  • 1 cwn santan pekat
  • 2-3 biji tomato
  • Bendi

Cara Penyediaan:

  1. Hiris nipis bawang merah kecil, bawang putih dan halia.
  2. Belah tomato 3-4 bahagian, bendi trim tangkai.
  3. Bancuh serbuk kari ikan dengan serbuk cili, dan sedikit air.
  4. Asam jawa, rendam dalam air panas dan ramas jadikan pes.
  5. Tumbuk kasar bawang merah dan bawang putih tadi.
  6. Bersihkan ikan dan keluarkan isi perut dan insang.
  7. Panaskan minyak kemudian masukkan halba campur dan daun kari. Kacau sampai naik bau.
  8. Tumis bahan tumbuk kasar dan halia sampai garing kekuningan.
  9. Masukkan rempah kari dan air kemudian masak sampai pecah minyak. Ulang proses tambah air sebanyak 3 kali.
  10. Masuk air asam jawa sikit dan tambah air lagi. Sambung masak sampai pecah minyak.
  11. Masukkan garam secukup rasa.
  12. Masukkan ikan dan santan cair (kalau guna santan kotak, boleh masukkan air sejuk)
  13. Tuang air agak-agak tenggelam ikan.
  14. Masukkan santan pekat dan masak sampai mendidih.
  15. Masukkan tomato dan bendi.
  16. Biar kuah mendidih sekejap kemudian tutup api.

Tip:

  • Kalau nak ganti bendi dengan kundur atau timun tua pon sedap.
  • Rempah Kari Cap O pilihan orang utara.
  • Masak masuk ikan, api perlahan je takut hangit.
  • Santan kalau letak banyak, warna gulai akan kekuningan, seeloknya jangan letak banyak sangat lah.
  • Ikan jangan kerap balik-balikkan atau terlebih kacau takut nanti ikan hancur.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.