Cucur Jawa

Untuk resepi kali ini, Che Nom nak tunjuk cara untuk buat sejenis kuih iaitu Cucur Jawa. Bagaimana boleh dapat nama cucur jawa, Che Nom pun kurang pasti. Mungkin ada yg tau asal usulnya boleh lah kongsi.

Ada sesetengah tempat atau negara panggil kuih topi dan kuih penyaram. Mudah sangat bahan-bahan asas nya iaitu dua jenis gula, dua jenis tepung, dan air, tapi cara nak buatnya tu bermula dari cara bancuhan sampailah ke cara menggorang yang boleh buat bagi jadi atau tak jadi topi nya.

Bagi Che Nom cucur jawa yang sedap, bahagian tepi tu mesti rangup-rangup manis rasanya, dan bahagian tengah terasa keyal tapi masih lembut serta bersarang/berongga cantik di dalamnya.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk cucur jawa:
    • 1 cwn / 130g tepung gandum
    • 1 cwn /115g tepung beras
    • 1/2 cwn /80g serbuk gula merah
    • 1/2 cwn /100g gula pasir
    • 1 cwn /237ml air
    • 1-2 helai daun pandan
    • 1/2 sk garam
    • Tambahan air, jika perlu

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk adunan cucur jawa:
    1. Sukat tepung beras dan tepung gadum. Masukkan dalam mangkuk dan ketepikan.
    2. Dalam periuk berasingan, masukkan gula merah Thai (Che Nom guna brand Cap bintang), gula pasir, garam, air dan daun pandan. Kalau guna gula melaka kena lebihkan gula melaka dari gula putih kalau tak warna cucur akan pucat.
    3. Masak sampai air gula larut, mendidih dan naik bau pandan. (kalau tak nak masak tapi nak bancuh dengan air suam pon boleh tapi jangan letak daun pandan sebab daun pandan kena masak baru naik bau).
    4. Tapis air gula dan biarkan sejuk.
    5. Masukkan air gula dan tepung dalam blender atau food processor, putar sampai sebati anggaran 2 minit.
    6. Tuang masuk adunan kedalam bekas.
    7. Kalau adunan terlalu pekat, boleh tambah sedikit air sampai adunan sederhana cair.
    8. Tutup dengan plastik dan perap adunn minimum 3 jam atau semalaman. Kalau perap semalaman boleh simpan adunan dalam peti sejuk.
  2. Cara-cara untuk goreng cucur jawa:
    1. Gunakan kuali melengkung kalau kuali flat nanti cucur tak menjadi.
    2. Panaskan minyak dan senduk masuk adunan.
    3. Terbalikkan bila bahagian bawah dah perang.
    4. Bila dah masak, tolak cucur ketepi kuali untuk sejat turun lebihan minyak.
    5. Angkat dan toskan cucur, nak letak atas tisu pon boleh.

Tip:

  • Untuk tepung beras Che Nom guna Cap Teratai.
  • Untuk tepung gandum Che Nom guna Cap Sauh dan Cap Ros.
  • Kalau guna gula melaka, lebihkan gula melaka dari gula putih kalau tak nanti warna akan pucat dan tak gelap sangat.
  • Kalau kurangkan gula, bahagian tepi cucur tu akan jadi tak garing dan liat-liat.
  • Simpan adunan dalam peti sejuk kalau nak perap semalaman.
  • Gunakan kuali melengkung atau kuali klasik lagi baguas. Kalau kuali flat nanti cucur tak menjadi.
  • Pastikan minyak panas sebelum goreng.
  • Bila dah masak, tolak cucur ketepi kuali untuk sejat turun lebihan minyak jadi kuih tak makan minyak.
  • Untuk hasil yang sama besar pastikan guna senduk / bekas yang sama untuk tuang masuk adunan masa goreng cucur.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.