Cucur Badak

Kali ni, jom kita buat cucur badak yang semua orang tau memang takde badak pun dalam ni; macam mana dapat nama tu, Wallahu A'lam. Untuk buat kuih ni; kita kena sediakan init kelapa fresh yg dimasak dengan bahan-bahan rempah dan cili. Sedap kalau buat pedas-pedas manis gitu.

Dan kulit luarnya, kita gunakan adunan keledek rebus yang kemudiannya dibentukkan menjadi bulat. Sedap kalau makan suam-suam panas. Boleh buat frozen juga, senang nak makan.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk inti:
    • 1/4 cawan minyak masak
    • 1 biji / 300g kelapa parut
    • 1 biji bawang besar
    • 3-4 ulas bawang putih
    • 1 inci halia
    • 3 batang serai
    • 2 sb udang kering
    • 10-12 tangkai cili kering
    • 1 sb jintan manis
    • 2 sk serbuk kunyit
    • 3 sb gula
    • 1 sk serbuk perasa
    • Garam secukup rasa
  • Bahan-bahan untuk kulit:
    • 1 kilo keledek oren
    • 3 sk garam
    • Air untuk merebus
    • 1 sb majerin
    • Anggaran 2 cawan atau 250g tepung gandum

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk inti:
    1. Potong kasar bawang besar, bawang putih, halia dan serai.
    2. Cili kering Che Nom rebus dan buang biji.
    3. Cili kering basuh bersih dan rendam selama 10 minit.
    4. Masuk udang kering dan air rendaman, jintan manis, bahan potong kasar, cili kering dan sedikit air kedalam blender. Kisar halus.
    5. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar halus.
    6. Masukkan serbuk kunyit (kalau nak letak kunyit hidup boleh kisar sekali dengan bahan kisar halus).
    7. Tumis sampai kering dan pecah minyak.
    8. Masukkan gula dan serbuk seasoning. Kacau sebati.
    9. Masukkan kelapa parut (Che Nom beli yang mesin putih khas untuk buat kuih).
    10. Tambah sedikit air dan kacau sampai bergaul sebati.
    11. Masukkan garam dan sambung lagi uli.
    12. Okey inti cucur badak dah siap. Boleh pindah inti atas pinggan dan sejukkan.
  2. Cara-cara untuk kulit:
    1. Potong keledek kepada ketulan besar. Che Nom akan kupas kulit selepas rebus sebab nak elak keledek terlalu lembek. Kalau nak kurang lagi boleh kukus keledek.
    2. Basuh bersih keledek dan masukkan dalam periuk. Masukkan air agak tengelam, tambah garam dan rebus sampai empuk.
    3. Bila keledek dah masak, toskan air dan kupas kulit.
    4. Kemudian lenyek ubi sampai halus.
    5. Masukkan majerin (untuk bagi kulit lebih rangup bila kita goreng) dan uli sebati.
    6. Garam Che Nom dah tak letak sebab rebus tadi dah masuk garam.
    7. Bila ubi dah sejuk, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit.
    8. Bila dah senang bentukkan, berhenti masukkan tepung takut keras pulak nanti.
    9. Sebelum bentukkan cucur, gris dulu minyak pada loyang dan tangan untuk elak melekat.
    10. Gumpal bulat doh kemudian sudukan inti dan tutup elok-elok.
    11. Panaskan minyak dan goreng sampai keperangan.
    12. Bila dah perang, boleh angkat dan toskan minyak.
    13. Kalau nak buat frozen, boleh goreng sampai perang sikit kemudian angkat dan sejukkan. Boleh susun dalam bekas dan simpanlah dalam freezer.

Tip:

  • Inti dalam resepi ni akan ada lebih sebab untuk 1 kg keledek, inti dalam 1/2 biji kelapa dah cukup. Che Nom saja buat lebih.
  • Kalau sesiapa yang suka lebih pedas boleh tambah cili padi, mesin sekali dengan bahan kisar halus. Tapi bagi Che Nom resepi ni dah cukup pedas.
  • Untuk sukatan tepung susah nak bagi tepat-tepat sebab tengok ubi jugak, lembik ke, keras ke, serap air banyak ke. Masuk tepung sikit-sikit sampai adunan senang dibentuk.
  • Masa mula-mula goreng, jangan kerap alih keledek. Biar perang dulu sebelah bawah baru alih. Takut nanti hancur cucur dan serap minyak banyak.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.