Asam Pedas Ikan Pari

Resepi Asam Pedas Ikan Pari yang mudah dan sangat menyelerakan. Ikan Pari memang sangat sedap kalau dimasak asam pedas. Cuma pastikan basuh ikan pari bersama sedikit pati asam jawa supaya hilang bau hanyirnya.

Hidangan ini sedap dimakan bersama ulam sambal belacan, atau juga bersama ikan pekasam yang digoreng pedas bersama cili padi. Memang hidangan yang membuka selera. Che Nom bertanyakan resepi ini dari kawan orang Melaka, silalah cuba ye. Boleh rujuk video YouTube pada link di bawah untuk cara-cara yang lebih menarik dan jelas.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan asam pedas:
    • 1 ekor ikan pari, potong kecil
    • Minyak untuk menumis
    • 2 sudu kecil halba
    • 1 batang serai
    • 3-4 helai daun limau purut
    • 1 mangkuk cili kisar
    • sedikit air asam jawa
    • Air secukupnya
    • Kacang bendi
    • tomato
    • daun kesum
    • garam dan gula secukup rasa
  • Bahan-bahan kisar halus:
    • 2 ketul kunyit hidup
    • 2 inci halia
    • 5 ulas bawang putih
    • 6 biji bawang merah
    • sedikit belacan

Cara Penyediaan:

  1. Blender bahan-bahan untuk kisar halus dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dan tumis halba diikuti serai, daun limau purut dan bahan-bahan kisar halus tadi.
  3. Masukkan pula 1 mangkuk cili kisar dan masak sehingga pecah minyak. Selepas pecah minyak yang pertama, tambah sedikit air dan masak lagi sehingga pecah minyak. Ulang 3-4 kali untuk memastikan bahan tumisan cili yang mengandungi belacan betul-betul masak dan sedap rasa kuah nanti.
  4. Masukkan pati air asam jawa dan air putih untuk kuah.
  5. Masukkan ikan pari dan masak sehingga kuah mendidih.
  6. Masukkan bendi, tomato dan daun kesum kemudian masak sehingga sayur lembut.
  7. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Tip:

  • Bahan tumisan bercili hendaklah dimasak sehingga betul-betul pecah minyak di dalam minyak yang banyak. Kalau terlebih minyak jangan risau, selepas masak boleh sendukkan keluar minyak dari kuah asam pedas.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.