Apam Kampung

Menu kali ini ialah Apam Kampong, kuih klasik yang auto buat kan kita teringat pada kenangan dulu. Kadang-kadang waktu hujung minggu, mak Che Nom akan sediakan apam ni buat sarapan pagi, buat menyorok kat orang utara. Makan dengan kopi O pulak tu memang layan betul.

Cara nak buatnya tak susah, dan bahan pun tak banyak. Untuk nak dapatkan warna perang apam, kita campur gula merah dan gula putih. Dari segi jenis tepung pula, hanya guna satu jenis iaitu tepung gandum. Apam ni memang lembut tapi texture nya tak seringan dan sehalus apam nasi. Agak sedikit kenyal, tak terlalu manis dan cukup sedap. Tambahan pula jika dimakan bersama kelapa parut.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan apam kampung
  • 1/2 cwn gula merah
  • 1/2 cwn gula putih
  • 2 cwn air
  • 1/2 sk garam
  • 2 helai daun pandan
  • 3 cwn tepung gandum
  • 2 sk yis kering
  • 2 cwn kelapa parut
  • 2 sk garam

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk apam kampung:
    1. Masukkan gula merah, gula putih, air, garam dan daun pandan dalam periuk dan masak atas api perlahan sehingga gula larut dan mendidih.
    2. Tapis dan sejukkan air gula.
    3. Masukkan tepung gandum dan yis kering dalam mangkuk kemudian kacau sebati.
    4. Tuang masuk air gula sedikit demi sedikit dan kacau sebati.
    5. Perap adunan anggaran ½ -1 jam sehingga kembang.
    6. Sapu sikit loyang dengan minyak masak.
    7. Pindah masuk adunan yang perap tadi kedalam loyang (jangan kacau adunan).
    8. Tutup dengan aluminium foil dan kukus selama 40 minit.
    9. Keluarkan dari loyang dan biarkan sejuk sikit.
  2. Cara-cara untuk kelapa parut:
    1. Masukkan kelapa parut, daun pandan dan garam dalam bekas.
    2. Kacau sebati dan kukus anggaran 10 minit.
    3. Sejukkan kelapa parut.
    4. Potong apam dan hiaskan dengan kelapa parut.

Tip:

  • Kalau beli yis dalam kuantiti yang banyak, boleh pecahkan dan masukkan dalam pek kecil (Che Nom simpan dalam plastik zip lock) dan simpan dalam dalam freezer. Yis akan tahan lama dan tak mudah rosak.
  • Kalau guna pengukus klasik, balut penutup dengan kain untuk elak air wap jatuh atas apam dan kalau guna pengukus elektrik tak perlu balut tapi hati-hati bila bukak penutup dan sengetkan untuk air turun ketepi. Untuk lebih berjaga- jaga boleh tutup dengan aluminium foil.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.