Koleksi Resepi Agar-Agar

Koleksi Resepi Agar-Agar yang terbaik dari iResipi.com

Agar-Agar Santan Pandan

  • Masa Penyediaan: 40 minit |
  • Masa Memasak:30 minit |
  • Jumlah Hidangan:5-6 orang makan

Oleh: Che' Nom

Kali ni Che Nom nak share resepi dessert klasik iaitu agar-agar santan pandan. Mesti ramai yang suka makan agar-agar ni kan.

Sebelum ni Che Nom pernah kongsi agar-agar santan versi gula melaka, dan kali ni versi pandan pulak. Baunya wangi sangat dari jus pandan asli dan warna pun menarik. Hasil agar-agar ni sedang elok aja tak keras dan tak terlalu lembut serta mudah dipotong dan tak berair bila disimpan. Sesuai juga kalau nak buat jualan.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk agar-agar santan pandan:
    • 1 pek /20g agar-agar tali
    • 4 1/2 cawan air
    • 1 cwn /200g gula + 2 sb gula (pilihan)
    • 1 cwn air pandan
    • 1 kotak kecil /200ml santan
    • 1 biji telur
    • 1/4 sk garam
    • Sedikit pewarna hijau

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk masak agar-agar santan pandan:
    1. Potong kasar daun pandan kemudian masukkan dalam blender. Tambah 1 cawan air dan kisar halus.
    2. Tapis jus pandan dan sukat. Ttambah air kosong kalau tak cukup 1 cawan. Ketepikan dulu
    3. Pecahkan telur dan pukul.
    4. Masukkan telur tadi dalam santan. Kacau telur dan santan sampai larut sebati kemudian ketepikan dulu.
    5. Untuk agar-agar, Che Nom bilas dulu dengan air kemudian toskan kering.
    6. Masukkan agar-agar dan air dalam periuk kemudian masak sampai agar-agar larut.
    7. Bila agar-agar dah hampir nak larut, tuang masuk gula dan gaul sebati.
    8. Masukkan garam (sikit je, cukup sekadar untuk bagi naik lemak santan, jangan banyak takut masin nanti) dan air jus pandan.
    9. Tambah sedikit pewarna hijau.
    10. Bila agar-agar dah larut dan mendidih, tuang masuk adunan santan dan telur tadi.
    11. Terus kacau sampai sebati. Masa ni memang kita akan terus nampak santan berketul-ketul.
    12. Bukak api besar dan biar aga-agar mendidih sampai nak meruap. Tapi jaga-jaga jangan sampai meruap keluar periuk pulak nanti habis tumpah.
    13. Bila dah meruap 1-2 minit, boleh terus tutup api.
    14. Tuang masuk adunan agar-agar. Che Nom guna bekas kaca, kalau nak guna loyang aluminium pon boleh.
    15. Biarkan adunan aga-agar suam-suam sejuk dan lepas tu simpan dalam peti sejuk semalaman.
    16. Bila agar-agar dah keras, boleh potong dan sedia untuk dihidang.

Tips:

  • Waktu campur telur dalam santan, pastikan telur betul-betul sebati takut nanti telur jadi scramble egg pulak dalam agar-agar.
  • Setengah orang kalau nak agar-agar cepat larut, dia rendam sekejap dalam air sebelum rebus, tapi Che Nom terus rebus je.
  • Kalau tak ada daun pandan boleh je guna pes pandan, boleh beli dekat kedai.
  • Kalau guna santan asli lebih sedap sebenarnya tapi kalau nak mudah guna santan kotak je.
  • Sebelum tuang agar-agar, Che Nom basahkan sikit bekas dengan air untuk elak melekat.

Agar-Agar Cendol Sedap

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:20 minit |
  • Jumlah Hidangan:10 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi Agar-Agar Cendol yang sangat sedap jika dihidangkan sebagai pencuci mulut tambahan lagi jika agar-agar ini disejukkan terlebih dahulu di dalam peti sejuk. Rasa lemak cendol bersantan bergabung pula bersama lapisan manis 3 jenis gula iaitu gula melaka, gula merah dan gula pasir memang sangat enak. Untuk resepi ini Che Nom guna agar-agar bertali yang mudah didapati di kedai-kedai runcit mahupun pasaraya.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk lapisan gula melaka:
    • 1/2 pek agar-agar bertali (anggaran 15g)
    • 800 ml air
    • 150 gram gula melaka
    • 1/4 cawan gula merah
    • 1/2 cawan gula pasir
    • 250 ml santan
    • 1/2 sudu kecil garam
  • Bahan-bahan untuk lapisan santan:
    • 1/2 pek agar-agar bertali (anggaran 15g)
    • 800 ml air
    • 1/2 cawan gula pasir
    • 2 1/2 sudu teh garam
    • 250 ml santan
    • 1 pek cendol, tapis airnya

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk lapisan gula melaka:
    1. Basuh dan rendam agar-agar bertali bersama air seketika, kemudian masak agar-agar bersama gula melaka, gula merah dan gula pasir sehingga larut.
    2. Perlahankan api dan masukkan santan bersama garam. Kacau dengan kerap sehingga mendidih. Tapis dan tuang ke dalam acuan. Sejukkan sehingga beku.
  2. Cara-cara untuk lapisan santan:
    1. Basuh dan rendam agar-agar bertali bersama air seketika, kemudian masak agar-agar sehingga larut.
    2. Masukkan santan, cendol dan garam. Kacau sehingga mendidih di atas api perlahan.
    3. Tuangkan di atas lapisan gula melaka yang sudah dicakar dengan garfu supaya dua lapisan bercantum dengan sempurna.

Tips:

  • Apabila santan dimasukkan, harus dikacau dengan api perlahan supaya agar-agar tidak berketul.

Agar-Agar Sirap Selasih

  • Masa Penyediaan: 10 minit |
  • Masa Memasak:15 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi Agar-Agar Sirap Selasih, agar-agar yang menarik tapi menggunakan bahan yang cukup mudah. Warna yang ceria pasti membuatkan anak-anak suka. Agar-agar ini sedap dihidangkan sejuk sebagai pencuci mulut dan juadah berbuka puasa.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk lapisan sirap selasih:
    • 1/2 pek agar-agar kering (dari bungkusan 25g), rendam sehingga lembut
    • 600 ml air (anggaran 2 1/2 cawan air)
    • 3/4 cawan gula pasir
    • 1 sudu besar biji selasih, rendam sampai kembang
    • 1/2 sudu besar pati sirap ros
    • 1 helai daun pandan
  • Bahan-bahan untuk lapisan sirap bandung:
    • 1/2 pek agar-agar kering (dari bungkusan 25g), rendam sehingga lembut
    • 400 ml air (anggaran 1 3/4 cawan air)
    • 1/2 tin susu cair
    • 3/4 cawan gula pasir
    • 1/2 sudu besar pati sirap ros
    • 1 helai daun pandan

Cara Penyediaan:

  1. Dalam dua periuk yang berasingan, rebus bahan untuk lapisan sirap selasih (kecuali biji selasih) dan bahan untuk sirap bandung.
  2. Rebus sehingga mendidih dan pastikan ketulan agar-agar cair sepenuhnya. Kemudian tapis air rebusan agar-agar.
  3. Untuk bahan sirap selasih, biji selasih boleh ditambah apabila sirap sudah ditapis.
  4. Tuang sirap selasih ke dalam bekas acuan dan sejukkan. Apabila agar-agar sudah sejuk, cakar atau cucuk-cucukkan permukaan supaya bahagian lapisan atas melekat.
  5. Tuang bahan sirap bandung dan sejukkan lagi sekali.
  6. Apabila aga-agar sudah sejuk sepenuhnya, boleh lah dihidangkan.

Tips:

  • Agar-agar harus direndam terlebih dahulu supaya mempercepatkan proses memasak agar-agar. Apabila sudah lembut, barulah dimasak dan ketulan agar-agar akan cair dengan sempurna.

Agar-agar Koktail

  • Masa Penyediaan: 5 minit |
  • Masa Memasak:10 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang makan

Oleh: Che' Nom

Resepi agar-agar koktail yang menggunakan buah-buahan koktel di dalam tin. Juadah pencuci mulut yang begitu mudah untuk disediakan dan bahan-bahan mudah didapati.

Terbaik dihidangkan ketika sejuk, sungguh nyaman dan sedap. Cuma perlu diingat ketika merebus agar-agar api janganlah terlalu kuat kerana jika menggelegak di atas api yang terlalu kuat susu cari akan berketul-ketul dan teksturnya menjadi tidak cantik.

Bahan-Bahan:

  • 1 bungkus atau 20g agar-agar bertali
  • 900 ml air
  • 1 tin koktel buah-buahan
  • 1 tin susu cair
  • 1 1/2 cawan gula pasir
  • 1 helai daun pandan

Cara Penyediaan:

  1. Basuh agar-agar dan rebus bersama air sehingga larut.
  2. Kemudian masukkan gula pasir, daun pandan dan buah-buahan koktel berserta airnya sekali.
  3. Masukkan susu cair dan masak di atas api yang perlahan hingga 2-3 minit.
  4. Tuang di dalam loyang dan sejukkan.

Agar-Agar Santan Gula Melaka

  • Masa Penyediaan: 10 minit |
  • Masa Memasak:10 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang

Oleh: Che' Nom

Agar-agar santan gula melaka, pencuci mulut yang tak jemu dimakan. Sedap dijamah ketika sejuk dan pencuci mulut yang mudah disediakan. Boleh disediakan sehari awal jika anda merancang untuk jamjan atau kenduri. Senang kan? :)

Bahan-Bahan:

  • 10-12 gram agar-agar (saya guna agar-agar bertali)
  • 3 1/2 cawan air
  • 3 helai daun pandan
  • 1 biji telur
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • 1 ketul gula melaka (anggaran dalam 220 gram)
  • 1 sudu besar gula merah thai
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

  1. Pukul telur bersama santan pekat, tapis dan ketepikan. Ini kerana untuk mengelakan ketulan telur putih yang tak sekata apabila dimasak nanti.
  2. Masak gula melaka, gula merah thai dan gula pasir sehingga larut dan kemudian tapis. Masak agar-agar bersama air gula tadi dan daun pandan sehingga cair.
  3. Masukkan santan cair, garam dan kacau sebati.
  4. Masukan bancuhan santan pekat dan kacau sehingga mendidih. Teruskan mengacau selama 2-3 minit ketika mendidih. Ini supaya gumpalan hakus dapat terbentuk cantik.
  5. Tuang dalam loyang dan sejukkan.