Roti Canai

Resepi kali ni memang special, makanan kegemaran semua rakyat Malaysia, sapa tak suka kan, roti canai dan kari dalca. Che Nom akan share resepi yang dah test banyak kali, dan suka dengan hasilnya. Doh roti canai kita guna bahan-bahan yang mudah nak dapat kat rumah, Cuma cara buatnya tu yang tentukan hasilnya. Tak pandai tebar? jangan risau, ada cara nya Che Nom tunjuk dalam video. Che Nom pon bukan pro, Skill cukup-cukup makan je, janji hasil tu mantap.

Untuk kari dalca, atau kuah dal pulak, Che Nom gunakan kaedah tumis darat yang memang sedap sangat, dan wangi kari tu. Rasanya memang cukup perfect, dan yang bagusnya, boleh letak banyak sayur kalau buat sendiri. Hidang dengan roti canai panas, yang garing di luar dan lembut di dalam, memang terbaik sangat.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk roti canai:
    • 1 kilo tepung gandum
    • 1 sb gula
    • 3 sk garam
    • 4 sb susu pekat
    • 1 biji telur
    • 250ml air suam
    • 250ml air suhu bilik
    • 2 sb majerin
  • Bahan-bahan untuk Kari Dalca:
    • 200g / 1 cwn kacang dal
    • 2 ulas bawang putih
    • 1 sk serbuk kunyit
    • Air secukupnya (utk rebus)
    • 1 sb serbuk kari
    • 1 sb serbuk cili
    • Tulang ayam
    • 1/2 biji labu air
    • 1/2 biji terung panjang
    • 1 biji kentang
    • 1/2 batang karot
    • 3 sb santan kotak
    • Sedikit air asam jawa
    • 1/4 cwn minyak masak
    • 1 sk biji sawi
    • 1 batang kayu manis
    • 4 biji bawang merah kecil
    • 1 tangkai daun kari
    • 4 biji cili kering

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk roti canai:
    1. Cairkan majerin kemudian ketepikan dulu. Nak mudah adun seloknya cairkan dulu majerin.
    2. Masukkan gula, garam, susu pekat dan air suam ke dalam mangkuk besar. Kemudian kacau sebati.
    3. Tambah lagi air (suhu bilik), telur dan majerin cair. Sambung kacau.
    4. Dalam mangkuk yang berasingan masukkan tepung gandum.
    5. Kemudian tuang adunan cair separuh-separuh sambil uli sampai doh lincin dan tak melekat pada tangan. Tambah air sikit kalau doh masih keras.
    6. Bila doh dah lincin dan tak melekat, boleh tutup dan rehatkan selama 30 minit.
    7. Selepas 30 minit, bulatkan doh kecil-kecil. Caranya tolak doh keluar di antara ibu jari dan jari telunjuk. Kemudian tolak jadi bulat dan tarik keluar.
    8. Cara lagi senang timbang berat semua doh dan bahagi kepada 19-22 biji doh.
    9. Sapu majerin pada bekas dan tangan, kemudian lumur majerin pada doh yang kita bulatkan kecil tadi.
    10. Susun doh dalam mangkuk dan tutup rapat doh dengan plastic
    11. Kemudian simpan semalaman atau 5-6 jam dalam peti sejuk.
    12. Keluarkan doh dari peti sejuk, keluarkan 2-3 jam sebelum masak supaya sejuk hilang sepenuhnya dan jadi lembut untuk ditebar.
    13. Lumur minyak atas meja (pastikan meja bersih yer).
    14. Ambil satu doh dan tekan leper dengan tapak tangan.
    15. Kemudian tebar roti sampai nipis
    16. Bila dah jadi besar Che Nom dah tak reti tebar, jadi Tarik doh sampai nipis.
    17. Tuang sikit minyak dan majerin atas doh yang kita canai tadi.
    18. Lipat 2 doh, tarik memanjang dan lipat lagi menjadi segi 4 sama.
    19. Kemudian tolak atau selit (dari lipatan sisi) jadi bulat.
    20. Rehatkan doh sebelum kita goreng.
    21. Tekan leper doh (tak nipis pon tak pe tapi kalau nipis dapat la roti canai yang garing).
    22. Panaskan kuali dan gris sedikit minyak.
    23. Kemudian boleh la goreng roti canai.
    24. Bila dah garing boleh la angkat.
    25. Susun roti canai atas meja dan kemudian tepuk (supaya roti canai lebih gebu).
  2. Cara-cara untuk kuah kacang dal:
    1. Bilas bersih kacang dal dan kemudian rendam 4-5 jam atau seloknya semalaman.
    2. Tapis kacang dal dan masukkan dalam periuk
    3. Ketuk hancur bawang putih dan masukkan dalam periuk.
    4. Tambah air dan serbuk kunyit kemudian rebus sampai lembut.
    5. Kupas kulit carrot, kentang dan terung kemudian potong dadu besar (kalau kecil hancur pulak masa rebus nanti).
    6. Labu air kupas kulit, buang bahagian tengah yang keras dan kemudian potong dadu besar.
    7. Untuk tambah sedap kuah Che Nom guna tulang ayam. Potong tulang ayam kecil-kecil.
    8. Bila kacang dal dah lembut, ambil separuh kacang dal dan kisar halus.
    9. Tuang masuk balik kacang dal yang kisar tadi kedalam periuk.
    10. Masukkan serbuk cili dan serbuk kari daging. Kacau sebati.
    11. Masukkan tulang ayam, sayur karrot dan kentang. Masak sampai sayur lembut.
    12. Bila kentang dan carrot dah lembut, boleh masukkan sayur yang lembut macam labu air dan terung.
    13. Sambung reneh sampai kuah jadi pekat dan sayur masak lembut.
    14. Masukkan santan kotak (kuah dal ni ada yang tak letak santan, Che Nom letak sikit je sebab takut kuah berlemak).
    15. Masukkan garam secukup rasa.
    16. Akhir sekali masukkan air asam jawa.
    17. Bila kuah dan mendidih boleh tutup api.
  3. Cara-cara untuk penyediaan tumis darat:
    1. Hiris nipis bawang merah kecil.
    2. Gunting kasar cili kering.
    3. Panaskan minyak masak.
    4. Tumis biji sawi dan kulit kayu manis.
    5. Masukkan daun kari, hirisan bawang merah dan cili kering.
    6. Kacau sampai bawang masak kekuningan dan naik bau.
    7. Tutup api dan tuang masuk dalam kuah kari dal.
    8. Cepat-cepat tutup periuk dan biarkan 10-15 minit atau ½ jam.
    9. Kuah kari dal sedia untuk dihidang bersama roti canai

Tip:

  • Masa tebar tekan dengan tapak tangan, jangan tekan dengan jari kalau tekan dengan jari nanti doh tak sekata dan jadi mudah koyak bila kita tebar.
  • Cara untuk tebar roti canai, kita pegang dengan 2 tangan. Tangan kanan angkat doh dan kanan kiri ikut je. Kita angkat doh dan hempas atas meja. Sambil tebar boleh pusing sampai dapat betuk bulat yang sekata.
  • Kalau tak pandai tebar, boleh guna cara mak Che Nom dengan mengunakan belakang dulang. Caranya kita tekan doh sampai leper sambil tarik sampai nipis dan selit tepi dulang. Akhir sekali boleh lipat doh dan gulung macam biasa.
  • Untuk goreng roti canai, kuali seeloknya guna yang tebal barulah roti masak sekata dan tak mudah hangit.
  • Kalau nak frozen roti canai, boleh goreng kuning-kuning je lepastu simpan dalam peti ais tempat beku.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.