Pulut Kuning Dan Kari Ayam Berkerisik

Kali ni Che Nom nak tunjuk cara masak menu yang sangat istimewa dan sangat nostalgia iaitu pulut kuning dan kari ayam berkerisik.

Resepi asal dari bonda Che Nom tersayang. Selalu dapat lihat masa kecil dulu macam mana telitinya cara penyediaan pulut kuning. Pulut perlu direndam semalaman dan dikukus, dan bila pulut masih panas terus digaul dengan santan segar sebelum ditutup rapat. Kita perlu biarkan pulut tu perlahan-lahan mengewap dan menyerap santan.

Aturan masa sangat penting dalam resepi ni. Hasil nya pulut yang lembut, berderai dan berkilat. Sedap sangat kalau makan dengan kari ayam berkuah pekat. Kalau nak makan dengan rendang pon boleh.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk pulut kuning:
    • 1 kilo beras pulut
    • 2-3 sk serbuk kunyit
    • 4 cwn santan
    • 1/2 cwn santan (simpanan, jika perlu)
    • ** semua perahan santan diambil dari 1 biji kelapa
    • Anggaran 3 sk garam halus
    • 1 helai daun pandan
  • Bahan-bahan untuk gulai ayam:
    • 1 - 1.5 ekor ayam
    • 2-3 biji bawang merah
    • 3 ulas bawang putih
    • 1 inci halia
    • Rempah 4 sekawan
    • 2 tangkai daun kari
    • 2-3 sb kerisik
    • 2 biji kentang
    • 3 sb rempah
    • 1 sb serbuk cili
    • 1 biji bawang besar (kisar halus)
    • 2 ulas bawang putih (kisar halus)
    • 2 cawan santan
    • ATAU 1 kotak kecil santan
    • Garam secukup rasa
    • Air asam jawa

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk pulut:
    1. Rendam beras pulut bersama serbuk kunyit dan asam keping anggaran 10-12 jam
    2. Tapis pulut dan toskan sekejap.
    3. Untuk kukus Che Nom guna pengukus klasik setingkat. Lapik loyang dengan talam atau daun pisang (pilihan), kalau tak tutup pon boleh, jangan tutup semua lubang-lubang takut lambat masak.
    4. Pindah masuk semua pulut dalam loyang kukus dan ratakan pulut.
    5. Buat lubang dekat pulut (supaya wap panas naik steam dekat atas).
    6. Kukus pulut selama 30-40 minit.
    7. Bancuh santan (sederhana pekat) dengan garam halus (boleh rasa, biar berasa masin tu sebab pulut kan tawar) dan daun pandan.
    8. Masak kejap atas api sederhana dan kerap kacau (kalau tak masak santan, simpan pulut dalam peti sejuk sebab takut cepat basi).
    9. Bila wap panas dah naik boleh tutup api dan ketepikan santan.
    10. Bila pulut dah masak, tuang masuk pulut dalam bekas besar supaya senang nak gaul.
    11. Masukkan santan sedikit demi sedikit anggaran 1-2 senduk.
    12. Gaul sebati pulut. Che Nom guna 4 cawan santan, lagi ½ cawan simpan dan boleh tambah jika perlu.
    13. Bila dah siap gaul boleh tekan bagi rata dan tutup pulut. Biarkan pulut menyerap santan anggaran 30 minit atau 1 jam.
  2. Cara-cara untuk kari:
    1. Hiris nipis bawang merah, bawang putih dan halia.
    2. Potong dadu kentang dan rendam dalam air.
    3. Potong kasar bawang besar dan bawang putih. Kemudian kisar halus dengan sedikit air.
    4. Bancuh rempah kari daging dengan serbuk cili dan bawang kisar tadi. Kacau sebati dan ketepikan.
    5. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan.
    6. Masukkan hirisan bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis sampai kekuningan.
    7. Masukkan daun kari dan kacau.
    8. Bila dah naik bau daun kari, masukkan bancuhan rempah kari dan masak sampai kering dan pecah minyak.
    9. Tambah air dan masak sampai rempah kering (ulang 3 kali).
    10. Masukkan ayam dan masak sampai ayam kecut sikit.
    11. Masukkan santan (kalau guna santan kotak masukkan air dulu).
    12. Lepas kuah dah mendidih, masukkan kentang.
    13. Masuk garam, kerisik dan sedikit air asam jawa.
    14. Bila ayam dah masak dan kuah dah mendidih boleh tutup dan hidang bersama pulut kuning.

Tip:

  • Che Nom guna Pulut susu Thailand jenama FLORAL (beli dekat Shoppe) atau jenama lain yang tak campur pulutnya.
  • Petua orang dulu rendam asam keping dalam pulut untuk bagi pulut berkilat tapi sejujurnya Che Nom jarang letak asam keping kalau masak sendiri, tetap menjadi dan berkilat yang penting santan yang diguna mesti berlemak. Asam keping bagi Che Nom lebih kepada nak bagi pulut tak melekat.
  • Kalau masa rendam pulut terlupa untuk tambah serbuk kunyit, boleh masukkan serbuk kunyit dalam santan sebelum gaul dengan pulut kukus.
  • Che Nom tak kukus pulut kalu kedua selepas masukkan satan, tapi kalau nak kukus jugak boleh cuma kena hati-hati takut pulut lembik.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.