Lempeng Dan Sambal Bilis

Kali ni jom tengok Che Nom sediakan menu sarapan pagi yang cukup terbaik, menu nostalgia menu throwback iaitu lempeng lembut cicah sambal ikan bilis.

Che Nom memang pernah buat lempeng dulu, tapi tak selembut macam resepi ni. Tepi-tepi garing bila makan panas-panas. Bahan-bahan nak buatnya tak susah nak cari, bahan basic je. Cuma cara bancuhan dan cara goreng tu Che Nom kongsi berdasarkan pengalaman sendiri.

Sambal bilis pula tak ada yang berbeza sangat, cara masak sambal tumis yang biasa, cara orang dulu-dulu takde letak sos bagai. Bila bergabung lempeng yang lembut, dengan sambal bilis yang pedas, terbaik sangat kalau sarapan dengan kopi atau teh.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan Lempeng:
    • 3 cwn tepung gandum
    • 4 - 4 1/2 cwn air
    • 1 sb gula
    • 1/2 sk garam
    • 2 sb minyak
  • Bahan-bahan Sambal Bilis:
    • 150g-200g ikan bilis
    • 1 cwn minyak masak
    • 2 biji bawang besar
    • 15-20 tangkai cili kering
    • 4 biji bawang merah kecil
    • 3-4 ulas bawang putih
    • 1/2 inci belacan (pilihan)
    • 1 keping kecil gula nisan
    • Sedikit jus asam jawa
    • Garam secukup rasa
    • Perasa jika suka

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara lempeng:
    1. Bancuh tepung gandum, garam, air dan minyak masak.
    2. Tapis kalau ada ketulan tepung.
    3. Panaskan kuali dan sapu sikit minyak.
    4. Tuang masuk 2 senduk adunan dan ratakan.
    5. Masak sampai garing kedua-dua belah bahagian.
  2. Cara-cara sambal bilis:
    1. Potong bawang besar untuk kisar (1 biji), taburan (1/2 biji) dan menumis (1/2 biji).
    2. Cincang kasar bawang merah kecil dan bawang putih.
    3. Kisar halus bawang besar, bawang merah kecil, bawang putih, belacan dan cili kering rebus dengan air separuh tenggelam.
    4. Rendam asam jawa dan ramas sampai jadi jus yang pekat. Ketepikan dulu.
    5. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis separuh masak, jangan goreng garing nanti liat dalam sambal.
    6. Angkat ikan bilis dan toskan minyak.
    7. Tumis bawang besar sampai layu.
    8. Masuk bahan kisar halus dan air. Tumis sampai pecah minyak. Ulang tambah air dan tumis kering 3 kali.
    9. Bila sambal dah kering, masukkan gula nisan dan kacau sebati.
    10. Masukkan ikan bilis goreng, air asam jawa dan garam.
    11. Tabur hirisan bawang merah dan tutup api.

Tip:

  • Sebelum tuang adunan dalam kuali kena kacau dulu adunan sebab adunan cair dan mendap.
  • Kena tunggu lempeng garing sebelah bawah dulu baru terbalikkan. Kalau tak nanti susah nak alihkan.
  • Kuali jangan panas sangat, nanti lempeng jadi berbonjol-bonjol.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.