Ayam Varuval

Resepi kali ini ialah Ayam Varuval, masakan India yang terkenal dan disukai ramai. Sejujurnya Che Nom tak pernah masak ayam varuval, ini pertama kali nak mencuba. Dah banyak tutorial dan resepi Che Nom tengok sampai tak tahu mana satu dah Che Nom ikut.

Jadi terima kasih lah pada semua yang share resepi di internet. Ayam Varuval ni mesti dimasak kering barulah menjadi dan sedap. Dah lepas masak memang betul-betul sedap hasilnya. Cukup dengan rasa berempah dan pedas, bau pun harum semerbak satu rumah.

NOTA: Rempah yang disangai masuk sekali bersama serbuk cili, serbuk kari dan serbuk ketumbar. Tertinggal tunjuk di video

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk perapan ayam:
    • ½ - 1 ekor ayam
    • 1 sudu kecil garam
    • 1 sudu kecil serbuk kunyit
    • 1 ½ sudu besar yogurt atau tairu
  • Bahan-bahan untuk rempah sangai:
    • 1 sudu besar biji jintan manis
    • ½ sudu besar biji jintan putih
    • 1 sudu besar biji lada hitam
    • **NOTA: Rempah yang disangai masuk sekali bersama serbuk cili, serbuk kari dan serbuk ketumbar. Tertinggal tunjuk di video
  • Bahan-bahan lain:
    • ½ cawan minyak masak
    • Rempah 4 sekawan:
    • (1 batang kayu manis
    • 2 kuntum bunga lawang
    • 3-4 cengkih
    • 4 biji buah pelaga)
    • 1 tablespoon biji jintan manis
    • ½ tablespoon biji jintan putih
    • 5 tangkai cili kering
    • 1 - 2 biji bawang besar
    • 1 tangkai daun kari
    • 1 biji tomato
    • 5 tangkai cili padi hijau
    • 5 ulas bawang putih
    • 2 inci halia
    • Sedikit air
    • 1 sudu besar serbuk cili
    • 1 sudu besar serbuk kari daging
    • 1 sudu besar serbuk ketumbar
    • Potongan batang ketumbar
    • Sedikit gula
    • Garam secukup rasa
    • Cili kering goreng
    • Daun ketumbar

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk perapan ayam:
    1. Gaul sebati ketulan ayam dengan sedikit garam, serbuk kunyit dan yogurt atau tairu.
    2. Perap ayam dalam peti sejuk.
  2. Cara-cara untuk ayam varuval:
    1. Tumbuk/kisar halus bawang putih dan halia.
    2. Sangai jintan manis, jintan putih dan lada hitam sehingga naik bau dengan api yang perlahan.
    3. Tumbuk halus bahan sangai.
    4. Panaskan minyak. Masukkan rempah 4 sekawan, biji jintan manis, jintan putih, potongan cili kering, hirisan bawang besar. Kacau sehingga bawang kelihatan layu dan lembut.
    5. Masukkan daun kari, hirisan tomato, potongan cili padi, pes bawang putih dan halia. Tumis kesemua bahan sehingga naik bau.
    6. Masukkan perapan ayam dan kacau sekata, lalu masak sehingga kering air ayam serta pecah minyak.
    7. Tambah sedikit air serta bahan bahan sangai, serbuk cili, serbuk kari daging dan serbuk ketumbar.
    8. Tabur potongan batang ketumbar dan masak sampai kuah pekat kering.
    9. Masukkan sedikit gula dan garam secukup rasa (jika perlu).
    10. Hias dengan taburan cili kering goreng dan hirisan daun ketumbar.
    11. Kemudian, ayam varuval siap untuk dihidang.

Tip:

  • Perapan ayam yang lebih lama disimpan atau perap akan menambah lagi rasa kesedapan pada masakan.
  • Tidak perlu masukkan cili padi hijau jika mahu kurangkan pedas.
  • Pastikan masakan betul-betul dimasak agar hilang rasa mentah rempah dan cili.
  • Ayam varuval sesuai dihidangkan bersama nasi putih panas atau roti seperti roti prata, roti nan mahupun tose.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.