Kuih Lapis Lemak Manis

Kali ni Che Nom nak share cara buat kuih tradisional iaitu kuih lapis. Kuih lapis ni sedap sangat dengan rasa lemak manis bersantan. Kuihnya wangi dan lembut pulak tu. Kuih lapis yang betul-betul menjadi, kita mesti boleh tarik lapisan tu satu satu masa nak makan.

Nak sediakan adunan mudah saja, cuma effort masak tu lebih sikit sebab kita kena kukus selapis demi selapis. Tapi hasilnya berbaloilah berdiri lama kat depan steamer tu. Resepi ni juga sesuai digunakan untuk berniaga.

Loyang: 7x7 inci atau 8x8 inci

**Setiap lapis Che Nom sukat agak-agak 3/4 cawan

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan kuih lapis:
    • 2 cwn tepung beras
    • ½ cwn tepung gandum
    • ½ cwn tepung jagung
    • 1 cwn santan kotak
    • 3 cwn air
    • 1 cwn gula
    • 1 sudu kecil garam
    • 2 helai daun pandan
    • 1 sudu kecil pewarna merah

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk Kuih Lapis Lemak Manis:
    1. Sapu loyang dengan minyak dan lapik dengan plastik.
    2. Gris pula minyak pada permukaan plastik.
    3. Dalam mangkuk, masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, dan garam. Kacau sebati kesemua bahan.
    4. Masak gula dengan air bersama simpulan daun pandan.
    5. Tuang campuran santan dengan air kedalam air gula pandan dan kacau sebati.
    6. Masukkan adunan santan dan air gula ke dalam adunan tepung sedikit demi sedikit. Kacau perlahan sehingga larut sekata.
    7. Sesudah kacau sekata, tapis adunan tepung.
    8. Bahagi adunan pada dua bahagian.
    9. Masukkan satu adunan dengan pewarna merah atau pati sirap.
    10. Kukus adunan secara berselang-seli mengikut warna selama 5-7 minit. Contohnya, kukus dahulu lapisan berwarna putih dan diikuti pula lapisan berwarna merah.
    11. Ulang sehingga habis adunan.
    12. Untuk lapisan akhir, kukus selama 10 minit.
    13. Sejukkan dan keluarkan kuih lapis daripada loyang.
    14. Kemudian, potong kuih kepada 8 atau 16 bahagian dan kuih lapis lemak manis siap untuk dihidang.

Tip:

  • Bahagi setiap warna kepada 4 bahagian dan kuih akan menjadi 8 lapisan. Tetapi jika mahukan 4 lapisan sahaja pun boleh, tidak perlu menunggu lama untuk kukus.
  • Anggaran adunan adalah ¾ cawan untuk setiap lapisan.
  • Untuk dapatkan lapisan atas kuih yang licin, buang dahulu buih-buih yang ada pada permukaan adunan sebelum dikukus.
  • Gunakan pisau plastik untuk memotong kuih lapis bagi mengelakkan daripada melekat.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.