Ayam Mentega Telur Masin

Hi Semua, kali ni kita berbalik kepada menu ayam pulak. Che Nom nak masak Ayam Mentega Telur Masin, atau Salted Egg Butter Chicken. Resepi ni kira macam butter chicken jugak..tapi versi yang lain sikit sebab kita letak telur masin. Jadi hasilnya ialah ayam rangup dan lemak masin secukup rasa, tapi tak terlalu masin sebab kita ambil bahagian telur yang kuning aja. Rasanya pun tak muak…sebab ada rasa pedas dari cili api. Memang menjilat jari kalau makan ayam ni. 

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk perapan ayam:
    • 400g /5 ketul kepak ayam
    • 1 ulas bawang putih
    • 1/2 sudu kecil serbuk jari daging/ayam
    • 1 sudu besar sos tiram
    • 1 sudu besar kicap pekat manis
    • 1 sudu besar kicap cair
    • 1/2 biji telur
  • Bahan-bahan untuk menggoreng ayam:
    • 2-3 sudu besar tepung jagung
    • minyak masak, untuk menggoreng
  • Bahan-bahan untuk kuah/salutan ayam:
    • 2 sudu besar mentega
    • sedikit minyak masak (anggaran 1 sudu kecil)
    • 3 ulas bawang putih
    • 4-5 tangkai cili padi
    • 1 biji cili merah
    • 1-2 tangkai daun kari
    • 2 biji telur masin (kuning sahaja)
    • 1/2 sudu kecil gula
    • 1/2 cawan susu cair/susu full cream
    • secubit garam

Cara Penyediaan:

  1. Hiris nipis bawang putih, cili padi dan cili merah.
  2. Ambil kuning telur masin yang telah direbus dan hancurkan dengan garfu.
  3. Potong ayam (bahagian sayap).
  4. Perap ayam dengan bawang putih (telah diparut halus), serbuk kari, sos tiram, kicap pekat manis, kicap cair dan telur.
  5. Tutup dan perap dalam peti sejuk selama 1/2 atau 1 jam.
  6. Salut ayam dengan tepung jagung.
  7. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga rangup.
  8. Bahan-bahan untuk kuah/salutan ayam:
    1. Panaskan kuali dan masukkan mentega.
    2. Tumis bawang putih sehingga kekuningan.
    3. Masukkan cili padi dan cili merah (simpan separuh untuk taburan)
    4. Masukkan daun kari dan tumis sehingga naik bau.
    5. Masukkan telur kuning masin.
    6. Tambah susu cair/ susu full cream.
    7. Tambah garam dan gula secukup rasa.
    8. Masukkan ayam goreng dan salut sekata.
    9. Akhir sekali taburkan cili merah dan sedia untuk dihidang.

Tip:

  • Boleh tukar bahagian ayam, seperti bahagian isi atau dada.
  • Jangan bukak api terlalu kuat bila menggunakan butter. Boleh tambah minyak sikit supaya butter tak cepat hangus.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.