Nasi Ayam Hainan

Menu special kali ini ialah, Nasi Ayam Hainan, resepi authentic dari Master Chef Adam Liaw yang Che Nom rujuk dari YouTube channel Chef Adam sendiri.
Che Nom bukan lah penggemar Nasi Ayam Hainan sebelum ini, tapi lepas cuba masak dari resepi ini, terus jadi suka makan.

Ada 5 bahagian penyediaan dalam video. Pertama cara untuk rebus ayam untuk dapatkan ayam yang lembut dan juicy. Dari hasil air rebusan ayam pula, kita akan guna untuk masak nasi, sos cili dan kuah kicap atau dressing. Bahagian kedua pula, cara sediakan pes halia & daun bawang.

Ketiga, dari air rebusan, kita guna untuk masak nasi ayam yang penuh berperisa dengan 1 lagi bahan tambahan untuk sedapkan lagi nasi ayam. Keempat, penyediaan sos cili yang manis, pedas, dan masam secukup rasa. Kelima, kuah kicap atau dressing untuk dituang ke atas ayam rebus semasa menghidang.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk ayam:
    • 1 ekor ayam
    • 2 inci halia dengan kulit
    • Daun bawang
    • ½ sudu kecil garam
    • 1 ketul kiub ayam
    • 2 liter air
    • 1 sudu besar minyak bijan
  • Bahan-bahan untuk pes halia:
    • 3 inci halia
    • Daun bawang (bahagian pangkal)
    • Garam,secukup rasa
    • ¼ cawan minyak panas
  • Bahan-bahan untuk sos cili:
    • 5 tangkai cili padi
    • 2-4 biji cili merah
    • 4 ulas bawang putih
    • 5 biji limau kasturi
    • 1 inci halia
    • Air rebusan ayam
    • 2 sudu besar gula
    • Garam,secukup rasa
  • Bahan-bahan untuk sos kicap:
    • 1 cawan air rebusan ayam
    • 3-4 sudu besar kicap cair
    • 1-2 sudu besar minyak bijan
  • Bahan-bahan untuk minyak ayam:
    • 3-4 potongan kecil lemak ayam
    • 4-5 sudu besar minyak masak
  • Bahan-bahan untuk nasi:
    • 2 cawan beras
    • 3 cawan air rebusan ayam
    • Minyak dari lemak ayam
    • 2 ulas bawang putih
    • ¼ biji bawang holland
    • 2 helai daun pandan
    • Garam,secukup rasa
  • Bahan-bahan lain:
    • Tomato
    • Timun

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk penyediaan ayam:
    1. Halia potong kasar, daun bawang asingkan daun dan batang kemudian potong daun bawang anggaran 2 inci.
    2. Potong dan ambil sikit lemak ayam anggaran 3-4 potongan kecil (bahagian bontot & leher) untuk digunakan masak nasi nanti.
    3. Lumur permukaan ayam dengan garam.
    4. Tumbuk halia sehingga pecah. Susun halia dan daun bawang dalam periuk.
    5. Masukkan ayam, daun bawang, kiub pati ayam, garam dan air.
    6. Rebus ayam dengan api perlahan selama 45-60 minit.
    7. Angkat ayam dan rendam ayam dalam air sejuk.
    8. Tapis air rebusan ayam dan ambil sup saja.
  2. Cara-cara untuk penyediaan pes halia:
    1. Halia kupas kulit dan parut halus.
    2. Hiris halus daun bawang (bahagian batang)
    3. Masukkan halia parut, daun bawang (bahagian batang) dan garam kemudian tumbuk sampai sebati.
    4. Panaskan minyak masak (sehingga berasap) dan tuang atas pes halia kemudian kacau sebati.
  3. Cara-cara untuk nasi ayam:
    1. Bawang putih ketuk sampai pecah. Bawang holland potong kasar.
    2. Masak lemak dengan sedikit minyak masak sehingga lemak kecut kemudian tapis keluar lemak.
    3. Dengan minyak lemak ayam tadi, tumis bawang putih dan bawang holland.
    4. Masukkan daun pandan dan beras. Goreng beras dalam 2-3 minit.
    5. Masukkan air dan garam. Kacau sebati dan biarkan nasi masak.
  4. Cara-cara untuk sos cili:
    1. Parut halia yang telah dikupas kulit.
    2. Potong kasar cili merah, cili padi dan bawang putih kemudian kisar halus.
    3. Campur cili dan bawang kisar dengan parutan halia, gula, garam, jus limau Kasturi dan air rebusan ayam.
  5. Cara-cara untuk kuah kicap:
    1. Bancuh sup ayam dengan kicap cair dan minyak bijan.
  6. Cara-cara untuk sup:
    1. Tabur sup dengan daun bawang.
  7. Cara-cara untuk hidang:
    1. Lumur sebati minyak bijan pada permukaan ayam.
    2. Potong ayam kemudian tuang kuah kicap atas ayam. Hiaskan dengan hirisan daun bawang dan cili merah.
    3. Hidangkan bersama nasi, hirisan tomato, timun dan hidangan sampingan yang lain seperti sos cili, kuah kicap, pes halia dan sup ayam.

Tip:

  • Sebelum masak pastikan ayam dalam suhu bilik, kalau beku susah nak masak dekat dalam bila kita rebus nanti.
  • Masa rebusan ayam bergantung juga pada saiz ayam, Che Nom tambah lagi 15 minit. Jadi pastikan air yang jernih je yang keluar dari ayam baru ayam betul-betul masak.
  • Sejukkan ayam dalam air sejuk, untuk hentikan proses masak dan untuk dapatkan texture kulit ayam yang kenyal dan lembut. Lagi bagus kalau ada ketul ais dan pencakuk besi untuk gantung ayam.
  • Che Nom keluarkan bawang selepas nasi masak. Kalau cara Chef Adam, selepas tumis bawang, tapis minyak dan keluarkan bawang dulu sebelum masak nasi.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.