Kuih Sagu Merah

Resepi Kuih Sagu berwarna merah, kuih tradisi yang sedap dan tak lapuk dek zaman. Resepi kuih ni mudah sahaja tapi yang susah nya bila nak pastikan sagu tidak menjadi terlalu lembik semasa proses merebus. Lepas rebus sekejap, kita kukus pula supaya kuih menjadi biji cantik dan lembut. Cara mengukus juga lebih selamat lerana kuih sagu tidak akan mudah menjadi lembik.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan sagu
  • 2 senduk gula pasir
  • 1 sudu besar perasa sirap ros
  • sedikit pewarna merah
  • sehelai daun pandan, carik dan simpul
  • air, untuk merebus
  • Bahan-bahan untuk salutan kelapa:
    • kelapa parut
    • sedikit garam

Cara Penyediaan:

  1. Basuh sagu dan toskan.
  2. Rebus sagu bersama air dan daun pandan di atas api perlahan. Anggaran air ialah seruas paras jari macam masak nasi tu.
  3. Kacau perlahan sampai sagu menjadi pekat.
  4. Masukkan gula, sirap ros dan sedikit pewarna merah jika anda mahukan warna menjadi merah terang. Kacau sekata.
  5. Tuang sagu di dalam loyang yang sesuai dan kukus selama 20 minit. Jika sagu masih banyak biji-biji yang putih teruskan kukus sedikit lagi. Tidak mengapa jika biji-biji putih tak hilang sepenuhnya.
  6. Sejukkan dan kemudian pindah ke peti ais supaya betul-betul sejuk.
  7. Potong dan gaul dengan kelapa parut
  8. Cara-cara untuk kelapa parut:
    1. Kukus sekejap kelapa parut.
    2. Gaul bersama sedikit garam

Tip:

  • Kelapa perlu dikukus seketika supaya tidak mudah basi.
  • Ikat penutup periuk kukus dengan kain supaya air kukusan tidak menitik di dalam kuih semasa proses mengukus

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.