Victoria Sandwich Cake

Resepi Victoria Sandwich Cake, kek klasik dari British yang menggunakan resepi dari juri rancangan The Great British Bake Off, Marry Berry yang juga banyak menulis buku resepi masakan dan baking yang terkenal. She is a legend! Apa yang menarik tentang resepi ini ialah kaedah all-in-one method yang cukup mudah dan pasti tidak mengecewakan.

Sudah beberapa kali Che Nom ikut resepi ini dan setiap kali kek yang terhasil sangatlah sedap dan tekstur pun cantik. Macam tidak percaya pada mulanya untuk masukkan semua sekali bahan-bahan apatah lagi telur yang biasanya kita masukkan sebiji demi sebiji, tapi Che Nom sarankan anda cuba resepi ini, memang tak akan rugi :)

Nota untuk anda, jika gunakan salted butter jangan lagi letakkan garam.. boleh diabaikan dari resepi.

Bahan-bahan:

  • 4 biji telur
  • 225g gula kastor (Che Nom guna 180g sahaja)
  • 225g tepung naik sendiri
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 225g unsalted butter
  • 1/2 sudu kecil garam
  • jem strawberry secukupnya
  • Bahan untuk cream cheese filling:
    • 250ml whipping cream, (Che Nom guna sekotak whipping cream jenama Anchor)
    • 80g cream cheese
    • 3 sudu besar gula icing
    • 2 sudu besar jus lemon (optional)
    • 1/2 parutan kulit lemon (optional)

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk kek:
    1. Griskan 2 tin pembakar bulat bersaiz 8 inci, kemudian lapik dengan kertas baking.
    2. Masukkan kesemua telur ke dalam mangkuk adunan, diikuti gula, tepung naik sendiri, baking powder, butter dan garam.
    3. Pukul semua bahan sehingga sebati. Jika gunakan mixer, putar pada kelajuan sederhana.
    4. Jangan terlebih pukul, cukup sekadar apabila semua bahan diadun sebati.
    5. Sendukkan adunan sama banyak ke dalam 2 bekas tadi. Ratakan permukaan adunan dengan spatula supaya sekata.
    6. Bakar pada suhu 180°C selama anggaran masa 25 minit. Angkat dan sejukkan selama 10-15 minit sebelum dikeluarkan dari bekas tin.
    7. Apabila sudah sejuk, ambil sebiji kek dan terbalikkan di atas dulang kemudian sapu jem strawberry di permukaan kek. Sapukan pula cream cheese di atasnya dan telangkupkan dengan kek yang ke 2 di atas seperti sandwich. Boleh juga dipaipkan cream cheese itu supaya kelihatan lebih cantik.
    8. Hiaskan atas permukaan kek dengan strawberry dan taburan gula ising.
  2. Cara untuk cream cheese:
    1. Putar whipping cream sehingga menjadi pekat. Jangan terlebih putar kerana tekstur whipping cream akan menjadi pecah dan berair.
    2. Dalam mangkuk berasingan, putar cream cheese bersama jus lemon dan parutan kulit lemon. Kaupkan ke dalam mangkuk adunan whipping cream. Kacau hingga sebati.

Tip:

  • Kek sudah masak dengan sempurna jika warnanya perang keemasan dan bahagian tepi sudah terpisah dari tin pembakar atau bahagian tepi mengecut sedikit.
  • Test dengan menggunakan lidi, dan jika lidi itu licin apabila dicucuk maknanya kek sudah masak.
  • Jangan bakar terlalu lama kerana kek boleh menjadi kering.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.