Kek Butter Premium & Klasik Che Nom

Kali ni Che Nom nak share resepi antara kek yang paling Che Nom suka sangat makan, iaitu Kek Butter. Kek butter ni sangat premium rasanya, lembut dan gebu.

Bagi Che Nom rasa pun tak terlalu manis, kena lah dengan rasa berlemak pure butter yang digunakan. Kek ni walaupun resepi nya mudah aja, tetapi kita perlu pandai mengawal oven kita sendiri untuk dapatkan hasil pembakaran yang sekata.

Kalau makan waktu suam-suam panas lagi memang terbaik, dengan keharuman pure butter tu bila lepas bakar betul-batul nikmat. Kalau kita simpan beberapa hari pun rasanya akan jadi lebih sedap.


NOTA:

  • Jika guna tepung gandum atau tepung kek, sukatan baking powder ialah 2 sudu kecil.
  • Jika guna mentega salted, tidak perlu lagi tambah garam

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan:
    • 250g /2 cawan tepung naik sendiri
    • 200g /1 cawan gula kastor
    • 1 sudu kecil serbuk penaik
    • 1/2 sudu kecil garam
    • 250g mentega tak bergaram
    • 4 biji telur (saiz A atau B)
    • 1 sudu kecil esen vanila
    • 80ml / 1/3 cawan susu penuh krim

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara:
    1. Ayak tepung naik sendiri, serbuk penaik dan garam (untuk mentega yang tidak bergaram). Kemudian gaul bahan-bahan tadi dengan sudu atau whisk supaya bergaul sekata.
    2. Masukkan butter (pastikan butter telah lembut) dan gula kastor dalam mixer dan putar sehingga kembang atau kuning pucat.
    3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan terus putar sehingga kembang sebati.
    4. Masukkan esen vanilla.
    5. Masukkan adunan kering berselang seli dengan susu full cream sampai habis.
    6. Kacau dengan tangan sehingga sebati untuk elakkan terlebih mengadun.
    7. Gris permukkan loyang dengan butter atau magerin dan lapik dengan kertas baking.
    8. Tuang kesemua adunan dalam loyang, ratakan bahagian permukaan dan hentak 2-3 kali untuk mengelakkan gelembung/ rongga besar dalam kek.
    9. Bakar selama 160-170 C selama 35-45 minit.

Tip:

  • Kalau nak rasa premium kena guna pure butter (Golden Churn Butter, President Butter) buttercup bukan pure butter tapi boleh guna, tiada masalah.
  • Che nom tak putar lama sangat dengan mixer bila dah masukkan tepung takut terlebih hasilkan gluten dan kek akan keras.
  • Test cucuk kek dengan lidi. Kalau lidi keluar bersih maknanya kek dah masak. kalau masih basah, cepat-cepat masukkan dalam oven dan bakar semula.
  • Kalau semasa bakar, permukaan kek dah cukup perang, turunkan sikit suhu oven atau tutup permukaan kek dengan aluminium foil supaya tak hangus.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.