Semperit Klasik
Hi Semua, ada yang tengah cari resepi biskut raya ke? Ke ramai yang dah buat biskut raya?.
Kali ni Che Nom nak share resepi biskut semperit klasik, semperit klasik ni memang biskut yang mesti ada kat rumah Che Nom tiap-tiap kali raya. Kebiasaannya ada 2 versi semperit, satu yang klasik dan satu lagi semperit susu yang diletak susu pekat.
Dua-dua memang sedap. Biskut semperit ni tak mudah rapuh bila kita pegang rangup, tapi gebu dan cair di mulut bila dimakan. Bahan-bahan nak membuatnya pun mudah saja, dan nak mengadun pun tak peru guna mixer, guna senduk saja dah cukup.
Nota:
- Bakar api ATAS BAWAH
- Hasil anggran 80 biji
Bahan-bahan:
- Bahan-bahan untuk semperit klasik:
- 250g mentega
- ¾ cawan /90g gula icing
- 1 biji kuning telur
- 1 sudu kecil esen vanila
- 1 cawan /120g tepung kastad
- 1 cawan / 120g tepung jagung
- 2 cawan /250g tepung gandum
- Ceri merah dan hijau
Cara Penyediaan:
- Cara-cara untuk semperit:
- Potong kecil ceri merah dan hijau.
- Griskan loyang dan lapik dengan kertas baking.
- Tekan dan hancurkan mentega yang sudah lembut didalam mangkuk adunan.
- Masukkan gula icing lalu gaul sampai agak sebati tetapi jangan terlebih gaul
- Masukkan kuning telur dan esen vanilla lalu teruskan menggaul sebati.
- Masukkan tepung kastard, tepung jagung dan secawan tepung gandum. Gaul dahulu dan kemudian, masukkan cawan kedua tepung gandum sedikit demi sedikit sambil menggaul sehingga adunan menjadi dan lembut.
- Rehatkan adunan seketika.
- Uli doh memanjang dan masukkan kedalam acuan.
- Terap adunan secara beralun satu persatu diatas loyang.
- Hiaskan dengan potongan ceri merah dan hijau.
- Bakar pada suhu 160C selama 15-20 minit. Ubah suhu ikut jenis oven masing-masing.
- Kemudian, semperit klasik siap untuk dihidang.
Tip:
- Jika mahu semperit yang sedap, boleh gunakan mentega tulen (pure butter) berbanding dengan mentega bergaram (salted butter).
- Pastikan mentega dilembutkan dahulu agar senang untuk diputar tetapi jangan gunakan mentega yang cair. Cukup sekadar mentega yang lembut tetapi masih dalam keadaan yang sejuk.
- Jika gula icing berketul, boleh ayak gula icing sebelum dimasukkan kedalam adunan
- Elakkan menggacau adunan berlebihan supaya adunan tidak menjadi terlalu kembang dan menyebabkan bunga jatuh atau tidak menjadi.
- Jika adunan terlebih tepung, boleh tambah mentega lembut dan uli sedikit demi sedikit sehingga adunan kembali lembut. Jadi, pentingnya untuk masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit supaya dapat mengagak adunan sehingga menjadi.
- Semasa sedang terap adunan kuih, tutup adunan dengan kain dahulu supaya adunan tidak kering.
- Jika mahu bunga kuih semperit kekal bentuknya dan tidak cair apabila dibakar, rehatkan dalam masa setengah jam dibawah kipas dan biarkan kering serta keras permukaannya sebelum dibkar.