Brownies Kedut

Resepi Brownies Kedut yang di adaptasi dari seorang baker handal daripada Norway iaitu Manuela Kjeilen, tetapi Che Nom ubah sedikit mengikut citarasa sendiri dan memang tekstur dan rasanya amat sedap sekali.

Resepi ini tidak menggunakan mixer elektronik, Che Nom cuma gunakan hand whisk sahaja kerana adunan brownies tidak perlu dikacau terlalu lama, cukup sekadar apabila bahan sudah sebati dan licin.

Untuk menghasilkan brownies yang sedap pula, amat penting sekali menggunakan bahan dari gred berkualiti tinggi. Dark chocolate yang bagus akan membezakan rasa brownies dan ada sedikit penambahan yang penting untuk resepi ini supaya rasa coklat dapat dibangkitkan dan mengimbangi rasa manis brownie iaitu air kopi. Ini adalah rahsia utama dari chef dan baker yang terkemuka. Bila dicuba, memang ternyata ia memberikan satu kelainan rasa dan brownies yang terhasil memang sangat sedap. Selamat mencuba :)

Bahan-bahan:

  • 300g ketulan dark chocolate (coklat masakan)
  • 150g unsalted butter, potong kiub
  • 4 biji telur
  • 250g gula kastor
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 80g tepung naik sendiri (self-raising flour)
  • 20g serbuk koko
  • 2 sudu besar air bancuhan kopi
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan oven pada suhu 160°C. Griskan dulang berukuran 9x9 inci dengan butter dan lapik dengan kertas parchment atau kertas baking.
  2. Ayak tepung, serbuk koko dan garam. Ketepikan.
  3. Panaskan air sehingga mendidih dan cairkan ketulan coklat bersama unsalted butter menggunakan kaedah 'double boiler' atau 'bain marie'. Pastikan mangkuk yang digunakan adalah tahan panas dan bahagian bawah mangkuk tidak kena air mendidih.
  4. Apabila cair sepenuhnya, kacau sebati kemudian angkat dan ketepikan.
  5. Dalam mangkuk yang berasingan, pukul telur bersama gula dan esen vanilla sehingga sebati (anggaran 30 saat).
  6. Masukkan bancuhan coklat dan butter tadi, air bancuhan kopi dan kacau lagi sehingga licin dan sebati (anggaran 30 saat).
  7. Masukkan pula bahan ayak dan kacau sekata. Jangan kacau terlalu lama. Memadai jika adunan basah dan adunan kering sebati.
  8. Bakar di dalam oven selama 45-50 minit.

Tip:

  • Telur yang digunakan haruslah pada suhu bilik supaya mudah sebati dan tidak berketul di dalam adunan. Jika telur sejuk, boleh direndam seketika di dalam air suam-suam kuku selama 10-15 minit.
  • Brownies sudah masak sempurna jika anda cucuk dengan lidi dan apabila ditarik keluar ia agak sedikit basah dan berketul di hujung. Jangan bakar sehingga kering kerana dia akan menjadi seperti tekstur kek.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.