Kek Carrot & Cream Cheese Buttercream Che Nom

Selamat kembali pada siri edisi niaga. Kali ini Che Nom nak share resepi Kek Karot Dengan Lapisan Cream Cheese Buttercream.

Resepi kek Carrot ni Che Nom dapat dari sahabat Instagram, iaitu sis Atun yang memang sentiasa murah hati berkongsi resepi.

Sebenarnya Che Nom bukan lah peminat kek carrot tapi dengan hasil resepi ni terus jadi suka makan. Kek nya lembut, moist dan Che Nom tambah sedikit rempah mixed spice untuk lebih harum bila kita bakar.

Kemanisan kek pun sedang elok aja. Untuk cream cheese frosting atau cream cheese buttercream tak susah pun nak sediakan dan rasa pun sedap. Bila keduanya bergabung. rasa masam-masam cheese, rasa manis karot dan rasa berlemak rangup kacang walnut memang sedap lah. Kita deco sikit corak karot comel supaya nampak lebih menarik.

Che Nom memang buat bekas kecil-kecil macam ni khas untuk yang nak berniaga pek bajet.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk kek lobak merah:
    • 5 biji telur saiz A atau B
    • 1 sudu kecil esen vanila
    • 300g gula kastor
    • 250g minyak jagung
    • 280g tepung naik sendiri
    • 1 sudu kecil serbuk penaik
    • 1 sudu kecil soda bikarbonat
    • ¼ atau ½ sudu kecil serbuk mixed spice
    • 100g walnut
    • 400g parutan lobak merah
    • ½ sudu kecil garam
  • Bahan-bahan untuk lapisan krim keju:
    • 250g krim keju
    • 140g mentega
    • 140g gula aising
    • ½ sudu kecil esen vanila
    • 1 sudu kecil jus lemon

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk kek lobak merah:
    1. Parut halus lobak merah, timbang dan keluarkan air.
    2. Panggang walnut selama 10 minit dan kemudian cincang kasar.
    3. Masukkan telur, esen vanilla, gula dan kacau sehingga gula larut.
    4. Masukkan minyak jagung sedikit demi sedikit.
    5. Ayak bahan kering seperti, tepung naik sendiri, baking powder, baking soda, serbuk mixed spice dan garam.
    6. Masukkan bahan kering dalam adunan basah dan gaul sehingga sebati
    7. Masukkan parutan lobak merah dan walnut cincang kemudian gaul sebati.
    8. Masukkan adunan dalam loyang 10 inci x 10 inci atau 6 bekas aluminium 7 inci x 3 inci.
    9. Panaskan dulu oven kemudian bakar dalam suhu 160 c selama 25-30 minit.
  2. Cara-cara untuk lapisan krim keju:
    1. Perah jus lemon.
    2. Ayak gula aising (jika berketul).
    3. Pukul cream cheese sehingga halus.
    4. Masukkan mentega dan pukul sehingga sebati.
    5. Masukkan gula aising sedikit demi sedikit.
    6. Masukkan esen vanilla dan jus lemon kemudian pukul sehingga lincin dan tidak berketul.
    7. Ambil sikit adunan cream cheese, warnakan dengan pewarna oren dan hijau untuk deko kemudian masukkan dalam pipping beg.
    8. Pipe adunan cream cheese putih atas kek (boleh ratakan cream cheese dengan spatula).
    9. Deko kek dengan corak karot comel. Cara pertama pipe memanjang (v) cara kedua pipe zig zag. Dan pipe adunan hijau sebagai corak daun.

Tip:

  • Untuk pastikan gula larut , sentuh sikit adunan, kalau tiada ketulan halus gula jadi gula dah larut.
  • Kalau cream cheese cair, masukkan dulu dalam peti sejuk sebelum pipe atas kek.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.