Resepi Lala Masak Pedas

Masa Penyediaan
15 minit
Masa Memasak
10 minit
Jumlah Hidangan
3

Resepi Lala Masak Pedas ni sangat mengingatkan Che Nom kepada Kg Baru, Kuala Lumpur. Kami sekeluarga selalu ke sana di hujung minggu untuk makan hidangan ala Thai di sana. Selalunya lauk lala masak pedas ni pasti dipesan dalam menu. Dalam resepi ini Che Nom tak gunakan cili kering, tetapi cili api dan cili merah fresh kerana masakan Thai memang mengunakan cili fresh sebagai bahan utama dan bukan cili kering. Tetapi boleh juga jika anda nak gantikan bersama cili kering atau cili kisar.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 kg lala
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 batang serai, dititik
  • 2 helai daun limau purut, dicarik kasar
  • sedikit air asam jawa
  • garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu besar minyak masak
  • daun ketumbar, hiris kasar
  • Bahan kisar halus:
  • 4 biji cili merah
  • 4-5 biji cili padi
  • 1/2 inci halia
  • 3 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Basuh lala dan rendam seketika untuk keluarkan sisa kotor. Bilas dengan air dan toskan.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar halus sehingga wangi.
  3. Masukkan serai, sos tiram, sos ikan dan air asam jawa.
  4. Masukkan lala dan limau purut, kacau bersama baham tumis dengan sekata. Tambahkan sedikit air supaya berkuah dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Sedap jika dilebihkan sedikit gula.
  5. Angkat dan taburkan daun ketumbar.