Resepi Kangkung Goreng Belacan

Masa Penyediaan
10 minit
Masa Memasak
5 minit
Jumlah Hidangan
3 orang

Resepi Sayur Kangkung Goreng Belacan, mudah dan sangat sedap. Che Nom memang penggemar sayur kangkung dan masakan ni memang selalu sangat disediakan di rumah. Kangkung bukanlah sayur yang mahal tetapi jika kena cara masakannya memang ramai yang suka. Gabungan pedas cili, ikan bilis dan bawang yang dikisar ditambah sedikit tepung jagung menghasilkan kuah yang pekat dan sedap. Rakan sebilik masa belajar dulu yang tunjukkan resepi ni. Sila lah cuba ye

Bahan-Bahan:

  • sayur kangkung, 1 ikat
  • 1 sudu kecil tepung jagung (jadikan pes)
  • 3 sudu besar minyak masak
  • sedikit kicap
  • garam dan gula secukup rasa
  • Bahan kisar kasar:
  • 4-5 tangkai cili padi
  • 1 biji cili merah
  • 1 cm belacan
  • sedikit ikan bilis
  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Bersihkan kangkung dan potong kasar. Asingkan bahagian batang dan daunnya.
  2. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar sehingga kekuningan dan naik bau.
  3. Masukkan kangkung bahagian batang dan goreng sehingga sedikit layu, kemudian masukkan pula bahagian daun.
  4. Masukkan sedikit air, kicap, garam, gula dan pes tepung jagung.
  5. Kacau seketika, jangan sampai sayur terlebih masak. Angkat dan hidangkan

Tips

  • Masakan sayur kangkung harus dimasak dengan pantas. Pastikan bahan-bahan semua sudah tersedia sebelum anda mula memasak. Jika terlebih masak, sayur akan lembik dan tak sedap lagi.