Resepi Cakoi Rangup Tanpa Yis Dan Sos Pandan

Masa Penyediaan
Semalaman
Masa Memasak
30-40 minit
Jumlah Hidangan
5-6 orang makan

Episod kali ni agak berbeza sedikit kerana buat pertama kalinya Che Nom nak buat resepi youtiao atau cakoi versi tanpa yis. Resepi di rujuk dari YouTube channel Angel Wong’s kitchen. Nampak rangup berongga aja hasil cakoinya.

Adunan doh mudah sahaja, cuma yang rumit adalah caranya tu. Kita uli doh dan perap sebanyak 2 kali. Untuk kali yang pertama doh diperap 1 jam dan yg kedua kita guna cara cold overnight proofing pula sebelum dikeluarkan beberapa jam untuk dibentuk dan digoreng

Dalam resepi ni juga Che Nom kongsi cara sediakan sos pandan kastard yang manis berlemak dan wangi guna daun pandan asli, tanpa pewarna.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk cakoi:
    • 1 1/2 cwn / 195g tepung gandum
    • 3 sk serbuk penaik
    • 1 sk gula halus
    • 1/4 sk garam
    • 2 sb minyak masak
    • 1/2 cwn / 120ml air
  • Bahan-bahan untuk sos kastard pandan:
    • 4-5 helai daun pandan
    • 1 cwn /237ml air
    • 2/3 cwn / 160ml susu cair
    • 1 biji telur, saiz A atau B
    • 1 sb tepung jagung
    • 5-6 sb gula
    • Pewarna hijau, jika perlu
    • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Cara-cara untuk cakoi:
    1. Timbang tepung gandum (Che Nom guna jenama Bakers’ choice).
    2. Ayak tepung gandum, gula kastor, baking powder dan garam.
    3. Masukkan minyak masak dan air (air suhu bilik) sedikit demi sedikit. Kacau sebati.
    4. Uli sampai doh lembut dan tak melekat di tangan.
    5. Kalau doh masih keras boleh tambah sedikit air dan kalau doh masih melekat boleh tabur sedikit tepung.
    6. Bulatkan doh, tutup dan rehatkan anggaran 1 jam.
    7. Selepas perap doh 1 jam, tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan udara dan sambung uli 5-10 minit.
    8. Simpan doh dalam plastic bersih (kalau nak mudah boleh simpan dalam bekas bertutup) dan perap dalam peti sejuk semalaman.
    9. Keluarkan doh (defrost) minimum 2 jam atau sampai doh betul-betul hilang sejuk.
    10. Bentukkan dan uli doh memanjang.
    11. Tekan dengan roller untuk dapatkan bentuk empat segi tepat dan ketebalan 1/4 inci.
    12. Trim bahagian hujung doh, kiri dan kanan.
    13. Potong doh cakoi lebar anggaran 1 ½ inci.
    14. Tabur tepung pada setiap bucu doh setiap kali potong.
    15. Sapu air ditengah cakoi kemudian tindan dengan 2 keping doh cakoi tadi.
    16. Celup chopstick dalam air dan tekan tengah doh cakoi dengan chopstick tadi.
    17. Kalau tak nak buat 2 keping cakoi, boleh je buat sekeping macam biasa.
    18. Panaskan minyak, tarik doh dan goreng.
    19. Kerap balik-balikkan cakoi sampai perang sekata.
    20. Angkat dan toskan minyak.
  2. Cara-cara untuk sos pandan kastard:
    1. Gunting daun pandan.
    2. Masukkan daun pandan dalam blender dengan sedikit air dan kisar halus.
    3. Tapis dan perah jus pandan.
    4. Bancuh tepung jagung dengan sedikit air. Kacau sebati dan ketepikan
    5. Masukkan jus pandan, gula, telur, air bancuhan tepung jagung dan susu cair (atau santan) dalam kuali.
    6. Kacau perlahan dan masak sampai pekat.
    7. Masukkan garam dan sambung masak sampai pekat mendidih.

Tips

  • Pastikan doh tak sejuk masa goreng kalau tak cakoi tak jadi dan tak kembang bila digoreng.
  • Kalau kuali kecil, boleh potong separuh doh cakoi.
  • Masa goreng, kerap balik-balikkan supaya cakoi kembang dan perang sekata.
  • Kawal suhu minyak, jangan terlalu panas sangat takut luar terlebih perang tapi dalam masih belum masak. Seloknya guna thermometer kalau ada
  • Masa mula-mula masak sos pandan pastikan kerap kacau dan adunan sebati untuk elak adunan berketul terutamanya telur.
  • Pastikan bahagian bawah sos pandan tak berkerak dan hangit.

Youtube Video: