Resepi Bubur Nasi Udang Istimewa

Masa Penyediaan
10 minit
Masa Memasak
30 minit
Jumlah Hidangan
5 orang

Resepi Bubur Udang Istimewa yang selalu Che Nom sediakan untuk anak-anak jika rasa kurang sihat dan tidak berselera untuk makan. Gunakan udang segar supaya rasa manisnya dapat menambahkan lagi kesedapan bubur nanti. 

Sila rujuk bahagian tips untuk cara memasak bubur dengan cepat

Bahan-Bahan:

  • 2 cawan beras
  • 1 mangkuk kecil udang, buang kulit
  • 1 ulas bawang putih
  • sedikit halia, hiris nipis dan memanjang seperti mancis
  • karot, potong dadu
  • ubi kentang, potong dadu
  • 1/4 sudu serbuk lada hitam atau putih
  • 1/2 potong kiub ayam atau ikan bilis
  • Bahan-bahan untuk taburan di atas sup:
    • ikan bilis goreng
    • daun bawang
    • bawang goreng
    • cili potong dan kicap

Cara-cara:

  1. Bersihkan beras dan rebus bersama air yang secukupnya sehingga lembut.
  2. Masukkan udang, bawang putih, halia, karot, ubi kentang, serbuk lada dan kiub ayam. Masak sehingga sayur lembut. Tambah air dan teruskan masak supaya bubur benar-benar lembut. Masukkan garam secukup rasa.
  3. Hidang bersama ikan bilis goreng, bawang goreng, daun bawang, cili potong dan kicap.

Tips

  • Che Nom ada terbaca mengenai tips untuk dapatkan bubur nasi yang cepat masak dan lembut. Caranya ialah:
  • Basuh beras dan masukkan ke dalam bekas. Isi air anggaran supaya beras tenggelam dan kemudian simpan di dalam peti sejuk beku. Bila nak masak cuma keluarkan dan masuk ke dalam periuk.