Resepi Ayam Masak Lemak Cili Api Sedap

Masa Penyediaan
10 minit
Masa Memasak
15 minit
Jumlah Hidangan
4 orang

Resepi Ayam Masak Lemak Cili Api cara Negeri Sembilan yang sangatlah sedap. Che Nom sangat beruntung kerana ada orang yang ikhlas sudi berkongsi resepi yang asli dari Negeri Sembilan ini yang sememangnya langsung tidak menggunakan bawang.

Macam tak percaya bila nak masak tak masukkan bawang, tapi hasilnya memang masak lemak yang mantap, ayam tidak berbau hanyir dan pedas semuanya cukup rasa.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam, potong kecil
  • 15-25 biji cili padi
  • 1 helai daun kunyit
  • 2 ketul kunyit hidup
  • 1 batang serai, dititik
  • 1 keping asam gelugor
  • 1 mangkuk besar santan
  • garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Bersihkan ayam dan ketepikan.
  2. Panaskan kuali di atas api yang perlahan. Masukkan ayam tadi ke dalam kuali tanpa minyak dan masak sehingga kering air yang keluar dari ayam. Ini adalah supaya ayam nanti tidak berbau hanyir.
  3. Masukkan pula cili padi dan kunyit yang sudah ditumbuk halus ke dalam kjuali bersama ayam dan gaul sebati selama beberapa minit, angkat ayam dan bersedia untuk langkah seterusnya.
  4. Dalam kuali yang sama, masukkan santan dan serai. Masak di atas api perlahan sehingga mendidih dan kemudian masukkan kembali ayam tadi bersama daun kunyit dan asam gelugor.
  5. Teruskan kacau supaya santan tidak pecah. Boleh tambah air jika kuah terlalu pekat.
  6. Angkat dan hias dengan taburan hirisan daun kunyit.

Tips

  • Kalau nak lebih sedap gunalah santan segar, tapi jika nak gunakan santan kotak pun boleh cuma kena pandai agak banyak mana air yang nak ditambah ke dalam kuah.