Lepas Pisang Lembut Manis

Kali ni jom kita belajar buat kuih melayu, kuih tradisional iaitu lepat pisang. Kalau ada pisang yang ranum selain dari nak buat kuih bergoreng, kita tukar sekali sekala cara kukus pula. Che Nom akan tunjuk cara dari bancuhan adunan lepat pisang, dengan tambahan satu bahan untuk sedapkan lagi rasa.

Ada juga ditunjuk cara kita proses daun pisang sebelum balut. Kuih ni manis rasanya ditambah dengan keharuman daun pisang , membuka selera betul. Kalau dulu dapat makan lepat pisang pagi-pagi dengan kopi O, fuhh memang terbaik.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan:
    • 7-10 biji pisang emas
    • 2 cawan pisang lenyek
    • 2 sb gula melaka
    • 1 sb gula putih
    • ¾ - 1 cawan tepung gandum
    • 2 sb tepung beras
    • 1 sk garam
    • Daun pisang
    • Sedikit minyak
    • Kelapa parut
    • Secubit garam

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk lepat pisang:
    1. Kupas kulit pisang dan lenyek pisang sampai hancur.
    2. Parut masuk gula melaka. Kemudian masukkan gula putih, garam, tepung gandum dan tepung beras sedikit demi sedikit. Kacau sebati dan rehatkan sekejap.
    3. Gaul sedikit garam dengan kelapa parut dan ketepikan.
    4. Bilas daun pisang dengan air, lap kering, potong anggaran 15cm dan layur atas api sehingga daun lembut dan nampak berkilat.
    5. Sapu daun pisang dengan sikit minyak masak.
    6. Sudukan 2 sudu adunan lepat di tengah daun pisang. Leperkan sikit dan tabur dengan kelapa parut ditengah adunan.
    7. Ada dua cara untuk lipat, cara pertama ambil hujung kiri dan kanan, bawa ke tengah dan lipat 2 kali kemudian lipat ke bawah bahagian tepi kiri dan kanan.
    8. Cara kedua, gulung saja lepat 2 lapis dan lipat tepi kiri dan kanan kebawah.
    9. Susun lepat dalam pengukus dan kukus dalam 15-20 minit.

Tip:

  • Gunakan pisang yang ranum
  • Kalau pisang kecil, boleh guna 14 biji pisang.
  • Kalau nak sukat pisang dengan cawan boleh sukat pisang lenyek anggaran 2 cawan.
  • Gunakan kelapa parut mesin putih.
  • Layur daun atas api dapat mengelakkan daun mudah rapuh dan koyak bila lipat nanti.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.

Youtube Video