Koleksi Resepi Ayam Masak Merah Terbaik

Koleksi Resepi Ayam Masak Merah Terbaik

Ayam Masak Merah Raya Special

  • Masa Penyediaan: 50 minit |
  • Masa Memasak:40 minit |
  • Jumlah Hidangan:7-8 orang makan

Oleh: Che' Nom

Kali ni jom Che Nom nak masak ayam masak merah, menu special sempena nak raya ni kan, ayam masak merah ni akan dipadankan dengan nasi hujan panas, dan juga, acar timun. Video lengkap untuk nasi dan acar Che Nom akan share selepas ini. Set ni sesuai sangat lah untuk makan ramai-ramai gathering dengan family. Sesiapa yang baru nak belajar tu, boleh sangat tak susah pon nak masak nya.

Bahan-Bahan:

  • 1 biji 1 biji bawang besar
  • 6 biji bawang merah kecil
  • 6 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 15-20 tangkai cili kering
  • 1 batang serai
  • 1 biji bawang besar
  • 1 helai daun pandan
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kayu manis
  • 3 kuntum cengkih
  • 2 biji tomato
  • 1 ekor ayam
  • 1 sk serbuk kunyit
  • 2 sk garam
  • 1/4 cawan sos cili
  • 2 sb sos tiram
  • 1 sk serbuk perasa
  • 1 sb gula melaka
  • Sedikit daun sup
  • 1 biji bawang besar
  • Kacang pea

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk penyediaan bahan:
    1. Hiris kasar bawang besar (untuk tumisan).
    2. Potong kasar bawang merah kecil, bawang besar, bawang putih dan halia
    3. Cili kering rebus dan buang biji.
    4. Tomato potong kasar.
    5. Masuk bawang merah kecil, bawang besar, bawang putih, halia dan cili kering dalam blender. Kisar halus.
    6. Serai titik atau ketuk biar pecah.
  2. Cara-cara untuk ayam goreng:
    1. Gaul ayam dengan garam dan serbuk kunyit. Che Nom potong 10 tapi kalau nak lebih kecil boleh potong 16.
    2. Bila minyak dah panas, kita goreng ayam separuh masak.
    3. Bila dah masak boleh angkat dan ketepikan.
  3. Cara-cara untuk kuah:
    1. Tumis serai sampai naik bau.
    2. Sekarang masukkan hirisan bawang besar, rempah 4 sekawan dan daun pandan. Tumis sampai naik bau wangi bahan tumisan.
    3. Tuang masuk bahan kisar halus dan kacau sampai naik minyak
    4. Bila nampak macam nak pecah minyak, baru masukkan tomato. Kacau sebati.
    5. Masukkan sos cili, sos tiram dan serbuk perasa kalau suka.
    6. Bila kuah nampak nak kering dan gelap sikit, tambah gula melaka (resepi asal guna gula kabung tapi kalau nak guna gula perang atau gula putih pon boleh).
    7. Selepas 10 minit, tuang masuk semua ayam goreng.
    8. Gaul sekata biar ayam bergaul sebati dengan kuah.
    9. Tutup tudung periuk sekejap biar ayam lembut dan masak sepenuhnya sampai ke tulang.
    10. Tabur kacang pea (Che Nom guna kacang frozen, rasa dia lebih sedap dari yang dalam tin) dan sambung masak sampai kacang lembut.
    11. Tabur hirisan bawang besar dan daun sup untuk hiasan dan aroma.
    12. Bila agak- agak bawang besar dah layu boleh tutup api dan sedia untuk dihidang.

Tips:

  • Kalau nak cepat masak, jangan goreng ayam penuh-penuh kuali.
  • Kalau suka lebih berkuah boleh tambah air dan kalau suka kuah yang pekat berlemak boleh tambah susu cair.

Ayam Masak Merah 2.0

  • Masa Penyediaan: 30 minit |
  • Masa Memasak:30 minit |
  • Jumlah Hidangan:6-8 orang makan

Oleh: Che' Nom

Kali ni Che Nom nak share resepi Ayam Masak Merah yang sesuai sangat untuk dipadankan dengan nasik minyak ala kenduri. Teringin sangat nak makan menu nasik minyak, jadi kena lah masak sebab tak ada jemputan kenduri.

Ayam Masak Merah yang sedap mestilah harum bau nya, hasil dari rempah yang ditumis ataupun dikisar. Kuah pun mestilah pekat dengan bawang dan cili yang dimasak dan ada rasa lemak-lemak dari susu. Texture ayam pun tak keras kejung kalau kita makan, lembut elok dimasak. Kalau dipadankan dengan nasi minyak dan acar rampai berempah, memang mantap teruk. Jom tengok cara masaknya.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan A:
    • 2 biji bawang besar
    • 5 ulas bawang putih
    • 2 inci halia
    • 1 inci lengkuas
    • 1 batang serai
    • 20-25 biji cili kering
  • Bahan-bahan B:
    • 1 ekor ayam
    • 2 sk garam
    • 2 sk serbuk kunyit
    • 1 biji bawang besar
    • 1 batang kulit kayu manis
    • 2 kuntum bunga lawang
    • 1-2 helai daun pandan
    • 2-3 sb gula melaka
    • 2 biji tomato
    • 2 sb sos tiram
    • 4 sb puri tomato
    • 1 biji bawang besar/holland
    • Serbuk seasoning, jika suka
    • Daun sup
    • 1/3 cwn susu cair

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk ayam masak merah:
    1. Potong kasar bawang besar, bawang putih, halia dan lengkuas. Serai nipis (supaya halus elok bila masak nanti).
    2. Cili kering rebus sehingga lembut, toskan air dan buang biji.
    3. Kisar halus bahan potong, cili kering dan air (air anggaran separuh tenggelam bahan).
    4. Hiris nipis bawang besar dan daun sup, potong kasar tomato dan potong membulat bawang holland.
    5. Perap ayam dengan garam dan kunyit.
    6. Panaskan minyak dan goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
    7. Tumis rempah 2 sekawan (kulit kayu manis dan bunga lawang), bawang besar dan daun pandan. Tumis sampai bawang lembut.
    8. Masukkan bahan kisar halus dan air. Masak sampai sambal kering dan pecah minyak.
    9. Masukkan gula melaka dan hirisan tomato. Kacau sebati.
    10. Masukkan ayam goreng dan tomato puri. Masak sampai ayam meresap kuah sambal.
    11. Tambah garam, sos tiram, serbuk seasoning (pilihan) dan susu cair.
    12. Tabur daun sup dan hirisan bawang holland. Kacau sekejap kemudian terus tutup api.

Tips:

  • Kalau kuali kecil, goreng ayam sikit-sikit. Penuh sangat nanti lambat pulak nak masak sebab suhu minyak dah drop jadi sejuk.
  • Che Nom tak masukkan air asam jawa untuk resepi ni sebab tomato dan tomato puri dah cukup masam

Ayam Masak Merah Berempah

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:25 minit |
  • Jumlah Hidangan:6-7 orang

Oleh: Che' Nom

Ayam Masak Merah Berempah, yang cukup pedas, masam, manis, masin…baupun sangat wangi membuka selera. Hidangan ni hampir sama dengan ayam masak merah biasa, cuma kita lebihkan bahan-bahan berempah. Sesiapa yang belum pernah makan tu boleh cuba….Kuah yang pekat tu kalau makan dengan nasi panas, memang padu.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk kisar halus:
    • 3 sudu
    • 1 ½ biji bawang besar
    • 3-4 biji bawang merah kecil
    • 4-5 ulas bawang putih
    • 1 inci halia
    • 1 inci lengkuas
    • 2 batang serai
    • 20-25 biji cili kering
    • sedikit air
  • Bahan-bahan lain:
    • 1 - 1½ ekor ayam
    • sedikit garam
    • ½ sudu kecil serbuk kunyit
    • 2 cawan minyak masak
    • ½ biji bawang besar
    • rempah 4 sekawan (1 batang kayu manis,2 kuntum bunga lawang, 4 biji buah pelaga, 2 kuntum bunga cengkih)
    • 1 tangkai daun kari
    • 2 biji tomato
    • 1 ½ sudu besar serbuk rempah kari
    • sedikit air
    • 2-3 sudu besar gula melaka
    • 1 sudu besar sos tiram
    • Anggaran ½ cawna air asam jawa
    • garam secukup rasa
    • ½ cawan susu full cream atau susu cair
    • 1 biji bawang besar (untuk taburan akhir)

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk ayam masak merah berempah:
    1. Masukkan sedikit kunyit dan garam kedalam ayam dan gaul sekata.
    2. Panaskan minyak. Goreng ayam sehingga separuh masak lalu angkat dan toskan minyak.
    3. Tumis hirisan bawang besar, rempah empat sekawan dan daun kari sehingga naik bau.
    4. Masukkan tomato yang telah dipotong. Gaul sehingga tomata kelihatan layu dan lembut.
    5. Masukkan bahan kisar halus dan gaul sehingga ia pecah minyak.
    6. Kemudian, bancuhkan rempah kari daging dengan sedikit air lalu masukkan kedalam semua bahan tumisan.
    7. Masak bahan sehingga pekat kering dan tambah sedikit air. Ulang cara ini 3-4 kali sampai kesemua bahan betul-betul masak.
    8. Bila kuah sudah masak dan pecah minyak, masukkan gula melaka dan sos tiram.
    9. Masukkan juga ayam goreng dan renehkan ayam sehingga sebati dan biarkan masak.
    10. Tambah sedikit air asam jawa, garam secukup rasa dan ½ cawan susu full cream untuk dijadikan kuah lebih beremak. (tambah air jika mahukan kuah lebih).
    11. Masukkan hirisan bawang besar kedalam ayam masak merah berempah dan gaul sekejap sehingga bawang besar tersebut layu.
    12. Kemudian, ayam masak merah berempah siap untuk dihidang.

Tips:

  • Susu full cream digunakan bagi seimbangkan rasa kuah yang berempah dan membuatkan lagi kuah lebih berlemak tetapi jika tiada, boleh digantikan dengan susu cair.

Ayam Masak Merah ala Lauk Pengantin

  • Masa Penyediaan: 30 minit |
  • Masa Memasak:45 minit |
  • Jumlah Hidangan:6-7 orang

Oleh: Che' Nom

Hi semua, Kali ni Che Nom akan sediakan Ayam Masak Merah ala Lauk Pengantin, yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Mmg menu yang confirm hit lah. Selalunya Che Nom akan masak Ayam Masak Merah ni untuk dipadankan dengan Nasi Tomato dan Acar Timun atau Jelatah. Resepi kali sedikit berbeza dgn resepi Ayam Masak Merah yangg pernah Che Nom kongsikan sebelum ni. Dua-dua versi mmg sedap.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk kisar halus:
    • 20-25 biji cili kering
    • 5-8 biji bawang merah
    • 5 ulas bawang putih
    • 2 inci halia
    • 1 biji bawang besar
    • sedikit air
  • Bahan-bahan untuk lain:
    • ½ -1 ekor ayam (size kecil atau sederhana)
    • sedikit garam
    • 1 sudu kecil serbuk kunyit
    • minyak masak, anggaran 2 cawan
    • ½ biji bawang besar
    • 2 helai daun pandan
    • 1 batang kayu manis (boleh tambah pelaga,bunga lawang dan cengkih, jika suka)
    • 1 biji tomato
    • 1 batang serai
    • sedikit air,untuk berkuah
    • 2 sudu besar gula melaka
    • ½ -1 cawan susu cair
    • 2 sudu besar air asam jawa
    • garam, secukup rasa
    • ½ cawan kacang pis
    • 1 biji bawang Holland/bawang besar, untuk taburan akhir

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk ayam masak merah:
    1. Cincang kasar kesemua bahan-bahan untuk kisar halus.
    2. Masukkan dalam pengisar, tambah sedikit air dan kisar halus.
    3. Potong ayam kepada bahagian kecil, gaulkan bersama sedikit garam dan serbuk kunyit.
    4. Panaskan minyak. Goreng kesemua ayam sehingga separuh masak, angkat dan ketepikan.
    5. Keluarkan sedikit minyak, tumis bawang besar yang dihiris nipis sehingga kekuningan.
    6. Masukkan daun pandan yang dicarik dan juga kayu manis.
    7. Masukkan hirisan tomato dan serai. Kacau sehingga tomato hancur.
    8. Tuang kesemua bahan kisar halus dan masak sehingga pecah minyak serta warna kuah sambal bertukar manjadi gelap dan pekat.
    9. Masukkan ayam goreng separuh masak tadi, diikuti gula melaka, susu cair, air asam jawa, garam secukup rasa dan kacang pis.
    10. Tambah sedikit air jika kuah kering. Tabur dengan hirisan bawang holland pada akhir sekali dan masak sebentar sukup sekadar bawang holland layu.
    11. Bolehlah angkat dan hidang bersama nasi tomato, dan jelatah atau acar timun.

Tips:

  • Kalau tak ada susu cair, boleh ganti dengan susu full cream atau sedikit santan.
  • Jangan kisar bahan-bahan bersama tomato fresh, kerana nanti textur kuah ayam masak merah jadi kurang pekat berkilat dan rasa pun kurang sedap

Ayam Masak Merah Sedap

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:20 minit |
  • Jumlah Hidangan:8 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi Ayam Masak Merah yang Che Nom kongsikan kali ini lebih mudah dan menggunakan bahan-bahan yang kebiasaannya ada di dapur. Cuma apa yang istimewanya ialah jenis gula yang digunakan iaitu gula melaka. Che Nom rasa penggunaan gula melaka menyebabkan manis kuah sambal lebih sedap daripada sambal yang dimasukkan gula putih biasa. Memang ala-ala lauk kenduri sambal kampung rasa Ayam Masak Merah ini. Anda harus cuba. Sila rujuk bahagian tips untuk cara-cara masak sambal tumis dengan sedap.

Bahan istimewa yang ke-2 ialah daun kari. Penggunaan daun kari semasa menumis dapat menambahkan rasa dan aroma yang lebih wangi serta menyelerakan. Tapi jangan risau jika tak ada daun kari, boleh aja diabaikan. Cuma rasanya akan sedikit berbeza dengan versi yang Che Nom masak hari ini.

Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ayam, potong kepada bahagian yang anda suka
  • serbuk kunyit
  • sedikit garam
  • 1 tangkai daun kari
  • 1/2 mangkuk air asam jawa
  • 3-4 sudu besar sos cili
  • 1 biji bawang besar, potong bulat
  • Anggaran 1 keping gula melaka
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Bahan untuk kisar halus:
    • 2 biji bawang besar
    • 2 inci halia
    • 6-8 biji bawang merah
    • 8-10 ulas bawang putih
    • 2 batang serai, hiris nipis
    • 15-20 biji cili kering, buang biji dan rebus

Cara Penyediaan:

  1. Bersihkan ayam dan gaul bersama serbuk kunyit dan garam. Panaskan minyak dan goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam minyak yang sama, tumis daun kari kemudian diikuti bahan kisar halus bersama sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan air asam jawa kemudian diikuti ayam goreng tadi.
  4. Masukkan sos sili, sos tiram dan gula melaka. Masukkan gula melaka sedikit demi sedikit dan cuba rasa manisnya mengikut selera anda. Tambah sedikit air jika kuah sambal terlalu kering. Teruskan masak selama 5-10 minit. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  5. Sebelum angkat, masukkan bawang besar yang dipototong bulat. Kacau seketika.

Tips:

  • Untuk mendapatkan sambal tumis yang sedap, bahan tumis haruslah dimasak di dalam minyak yang banyak dan ditumis sehingga pecah minyak (maksudnya minyak terapung atau terpisah dari kuah sambal) dan warna sambal bertukar menjadi sedikit gelap. Itu tandanya semua bahan kisar terutamanya cili masak dengan sempurna dan akan menghasilkan sambal tumis yang enak. Jika kering tambahkan sedikit air dan kacau untuk elakkan kuah sambal menjadi hangus.