Sizzling Tauhu Telur Pedas

Kali ni jom masak menu ala Chinese style iaitu Sizziling Tauhu Telur, tapi tak berapa nak ori dah sebabnya Che Nom masak guna bahan apa yang ada kat rumah dan jadikan versi pedas. Jadi tak perlu makan dengan cili potong lagi dan kena sangat dengan selera Che Nom sekeluarga.

Mula-mula kita goreng tauhu sampai garing diluar. Kemudian masak pula kuah sizziling dan tuang atas telur yang digoreng. Menarik kan.

Hidangan ni sangat tingi dengan protein sebab ada tauhu telur, ada isi ayam, dan ada telur ayam lagi. Sesuai untuk high protein diet.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan tauhu goreng:
    • 2 bungkus tauhu telur
    • Sedikit tepung jagung
    • Bahan perapan isi ayam:
    • 1 ketul isi ayam
    • 1/4 sk garam
    • 1/2 sk serbuk lada sulah
    • 1 sb kicap manis
  • Bahan-bahan lain:
    • 1/4 biji bawang holland
    • 3 ulas bawang putih
    • 1 tangkai cili merah
    • 4 tangkai cili padi
    • 1 sk serbuk lada sulah
    • 2 sb sos tiram
    • 1-2 sb kicap cair
    • 3 batang cendawan King Oyster
    • 2 cwn air
    • 2-3 sb bancuhan tepung jagung
    • 1 sb kicap manis
    • Sedikit garam dan serbuk perasa
    • Daun bawang
    • 1 biji cili merah (hiasan)
    • Bahan telur goreng:
    • 3 biji telur
    • Secubit garam

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara tauhu telur:
    1. Potong tauhu telur kepada 6 bahagian.
    2. Cendawan basuh, lap kering dan potong dadu kecil.
    3. Hiris daun bawang dan cili merah untuk taburan.
    4. Cincang halus cili merah, cili padi, bawang putih dan bawang holland untuk tumisan.
    5. Potong dadu kecil isi ayam dan perap dengan garam, lada sulah dan kicap manis.
    6. Salut tauhu telur dengan tepung jagung.
    7. Panaskan minyak dan goreng tauhu telur sampai garing.
    8. Boleh angkat tauhu telur dan toskan minyak.
    9. Tumis bawang holland sampai lembut kemudian masukkan bawang putih cincang.
    10. Bila bawang putih dah perang, masuk cili merah dan cili padi. Tumis sekejap sampai semua bahan tumis layu.
    11. Masukkan ayam perap dan goreng sampai isi ayam separuh masak.
    12. Perasakan dengan serbuk lada putih, sos tiram dan kicap cair.
    13. Masukkan cendawan dan kacau sampai cendawan layu.
    14. Tambah serbuk pati ayam (atau seasoning), air, kicap cair, minyak bijan (pilihan) dan air bancuhan tepung jagung.
    15. Masukkan tauhu telur goreng, kacau sebati dan tutup api.
  2. Cara-cara lapisan telur:
    1. Pecahkan telur dan kacau dengan garam.
    2. Goreng telur sampai separuh masak.
    3. Tuang masuk kuah sizzling tauhu telur tadi.
    4. Tabur cili merah dan daun bawang.
    5. Masak sampai lapisan telur garing kemudian tutup api.

Tip:

  • Tauhu telur kalau nak senang keluarkan dari plastic, belah 2 di tengah dan baru picit keluar tauhu dari tepi.

Che Nom

Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.